Nasional

11 premis penjagaan kanak-kanak ditutup akibat HFMD

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 13 Mei – Sebanyak 11 buah premis penjagaan kanak-kanak terpaksa ditutup apabila sejumlah 977 kes
penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dicatat di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri (JKNM), Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, jumlah tersebut adalah daripada kluster
yang membabitkan taska, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak setakat ini.

Menurutnya, penutupan premis berkenaan mengikut Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 membabitkan tujuh
di Jasin, tiga di Melaka Tengah dan satu di Alor Gajah serta dua kes membabitkan rumah kediaman.

Beliau berkata, sebanyak 13 kluster direkodkan sehingga minggu Epid (ME) ke-18 sehingga kini.

“Berlaku peningkatan kes HFMD setakat ini iaitu 977 berbanding tempoh yang sama tahun lalu mencatatkan
hanya 95 kes.

“Justeru, JKNM akan membuat pemantauan berterusan selain sedang mengaturkan beberapa sesi pertemuan
dengan pengusaha taska dan tadika dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Rusdi berkata, kes berkenaan pada tahun 2020 dan 2021 menurun mendadak ekoran berlakunya pandemik Covid-19
apabila kebanyakkan premis tersebut tidak dibenarkan beroperasi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu beliau meminta agar ibu bapa berwaspada dan peka dengan tanda-tanda penyakit itu jika
berlaku kepada anak-anak mereka.

Tambahnya, amalan kebersihan diri, pengasingan dan pemakaikan pelitup muka dapat mengurangkan kes tersebut
daripada berjangkit.

Jelasnya, sekiranya mereka mengesan jangkitan pada anak-anak mereka, ibu bapa mesti membawa terus ke
klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

“Jika penyakit itu dilihat teruk saya sarankan terus bawa anak-anak ke hospital,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button