Ekonomi

11 November diumum perincian lanjut pengeluaran Akaun 1 KWSP

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian lebih lanjut mengenai kemudahan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar pada 11 November.

Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias berkata permohonan penambahan kemudahan pengeluaran bersasar itu akan bermula pada Januari 2021.

“Kemudahan pengeluaran tambahan ini adalah sangat khusus dan disasarkan kepada ahli yang benar-benar memerlukan bantuan wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kemunculan gelombang baharu kes COVID-19 telah mengakibatkan proses pemulihan ekonomi yang tidak menentu sehingga menyebabkan sebilangan ahli kembali berdepan dengan masalah kewangan.

Katanya pihaknya bimbang bantuan yang sedia ada mungkin tidak akan dapat bertahan lama terutamanya bagi mereka yang memerlukan lebih banyak aliran tunai untuk menyara diri dan keluarga.

Sebelum ini, KWSP memperkenalkan kemudahan Pengeluaran i-Lestari untuk meredakan sedikit masalah aliran tunai ahli dan membenarkan mereka mengurangkan kadar caruman syer pekerja secara sukarela daripada 11 peratus kepada tujuh peratus untuk tempoh April 2020 hingga Disember 2020.

“Selain itu, kami juga menghulurkan bantuan kepada majikan yang terjejas dengan memperkenalkan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP), yang membolehkan majikan yang layak memohon untuk menangguh dan menstruktur semula caruman syer majikan KWSP,” katanya.

Tunku Alizakri berkata kebenaran untuk ahli mengakses simpanan persaraan KWSP mereka selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991 adalah sesuatu yang belum pernah berlaku atau dilaksanakan sebelum ini.

Katanya simpanan dalam Akaun 1 (70 peratus daripada simpanan) telah ditetapkan untuk persaraan ahli manakala simpanan dalam Akaun 2 (30 peratus daripada simpanan) pula diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja.

“Oleh yang demikian, keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Namun, kami telah menemui jalan tengah untuk membolehkan ahli mengakses simpanan mereka tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa depan,” katanya.

KWSP juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada Akaun 2 untuk mendapatkan produk insurans dan takaful yang merangkumi insurans nyawa/keluarga dan penyakit kritikal daripada syarikat insurans dan takaful yang diluluskan.

Beliau berkata produk ini akan disediakan melalui i-Akaun, yang akan disesuaikan untuk ahli KWSP dengan harga premium yang berpatutan dan dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan.

Katanya KWSP juga menyambut baik keputusan kerajaan berkenaan penurunan kadar caruman minimum syer pekerja kepada sembilan peratus, mulai Januari 2021 hingga Disember 2021, yang mengambil kira tekanan ekonomi dan juga pengurangan pendapatan ahli.

“KWSP ingin menekankan bahawa walaupun langkah-langkah ini adalah respon kepada kebimbangan masa kini ahli dan meliputi keperluan jangka pendek bagi menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelumnya, langkah-langkah untuk menangani isu-isu berkaitan sistem perlindungan sosial negara perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Tunku Alizakri berkata memandangkan KWSP mewakili hampir 50 peratus populasi rakyat Malaysia dengan 14.6 juta ahli, KWSP akan mengambil pendekatan proaktif dalam memberikan pandangan dan membantu kerajaan mewujudkan penyelesaian secara holistik untuk mencapai kesejahteraan sosial bagi ahli KWSP khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.

“Kami akan terus memperjuangkan isu perlindungan sosial bersama-sama dengan agensi-agensi dan badan-badan yang lain melalui MySPC (Majlis Perlindungan Sosial Malaysia) dan akan berusaha untuk meningkatkan sistem perlindungan sosial untuk masa depan rakyat Malaysia,” katanya.

Katanya KWSP juga akan meningkatkan program jangkauan kami untuk mengupaya dan memperkasakan ahli dengan pengetahuan kewangan agar mereka bersedia menghadapi cabaran kewangan pada masa depan di samping membantu mereka dalam meningkatkan kemahiran diri.

Beliau turut menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP untuk membantu merancang kewangan mereka dengan lebih berkesan dan mendapatkan nasihat berkenaan penyelesaian yang sedia ada. – BERNAMA 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button