NasionalPendidikanPolitik

SK Ukay Sering tetap dibina sekalipun keputusan PRU15 ubah lanskap KPM

SEJAK Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) komuniti atau penduduk sekitar Bukit Antarabangsa dahagakan sebuah sekolah yang boleh menempatkan anak-anak mereka belajar dengan selesa.

Bukannya seperti ikan sardin dalam tin yang mana dilonggok semua pelajar dalam bilik darjah yang terhad.

Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bakal merealisasikan permintaan pembinaan sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering yang disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak tahun 2018.

Radzi berkata, tanah seluas lima ekar telah dikenalpasti oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berbincang dengan pihak Pejabat Tanah Daerah untuk dijadikan tapak pembinaan sekolah.

“Tapak sudah ada dan pihak konsultan pembinaan akan dilantik supaya kerja-kerja pembinaan sekolah berkenaan dapat dilakukan pada November 2023.

“Menjelang November 2025, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka ke sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ukay Perdana, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pengarah KPM dan KSU kementerian.

Radzi berkata, KPM meletakkan keutamaan atau priority list dengan mengenalpasti dan menyelesaikan dahulu isu-isu berkaitan pendidikan, pembinaan sekolah yang terbengkalai dan kritikal.

Katanya, setakat ini, kos pembinaan SK Ukay Sungai Sering belum dapat ditentukan namun sekolah yang bakal dibina itu mempunyai 30 bilik darjah.

Mengambil kira pembinaan sekolah tersebut pada November 2023 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 19 November yang mana jika berlaku perubahan dalam KPM, apakah yang akan berlaku kepada pembinaan sekolah itu nanti?

“PRU memang kita nak menang. Pembinaan sekolah ini kalau tidak diteruskan, tak tahulah nak cakap apa.

“Kita perlu lahirkan pelajar yang holistik dan kita kenal pasti kebolehan dan kemampuan anak-anak yang bukan hanya cemerlang dalam akademik.

“Oleh sebab itulah, Transformasi Pendidikan melibatkan proses perbincangan yang panjangh dan libat urus anak-anak dimasukkan dengan mengambil kira pandangan murid-murid.

“Sistem pendidikan tidak tengok pada satu sudut sahaja kerana kita mahu bina insan yang dihormati, mempunyai sahsiah diri, berkarakter dan terangkum dalam berkemampuan dan kebolehan,” katanya.

Beliau berkata, semalam, satu Bengkel Penulisan Cilik untuk murid-murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 telah diadakan di Kelantan dan bengkel ini akan diperluaskan di seluruh negara.

Jelas Radzi, menerusi bengkel penulisan tersebut, anak-anak mempunyai kecenderungan menulis cerpen dan 30 cerpen yang dihasilkan oleh anak-anak itu, dibukukan.

“Ada yang tulis cerpen Saya Anak Penjual Etak (sebutannya, etok)  dan penulisannya bagus.

“Transformasi Pendidikan yang KPM usahakan ini mahu anak-anak yang pergi ke sekolah merasa dalam diri mereka ada nilai, ada kekuatan yang orang pandang.

“Kita mahu macam mana nak mendidik anak-anak dengan memberi mereka ruang untuk anak-anak ini melihat kekuatan dalam diri mereka sendiri.

“Ada murid yang datang ke sekolah, tidak pandai matapelajaran Matematik tetapi dia hebat dalam bersukan atau melukis, misalnya.

“Maka itulah, penting bagi kita sebagai ibu bapa dan pendidik, mengubah cara melihat anak-anak dari lensa akademik semata-mata.

“Kita ubah dan lihat apa kekuatan dan kebolehan yang ada dalam diri anak-anak,” ujar beliau.

Kata Radzi, selain adanya Didik TV, Yayasan Didik Negara juga berfungsi sebagai yayasan untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan yang diselaraskan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button