1,000 kiosk untuk usahawan muda di Kuala Lumpur, Putrajaya
Kementerian Wilayah Persekutuan akan membuka lebih 1,000 kiosk di lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Melalui Program Galakan Usahawan Muda Kota peluang akan diberikan kepada mereka yang minat untjuk berniaga terutama golongan yang hilang pekerjaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, lokasi yang disediakan termasuk di Berjaya Times Square, bangunan milik MARA dan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak di kalangan kita yang diberhentikan kerja menyebabkan menyebabkan mereka hilang mata pencarian.
“Kita faham di Kuala Lumpur dan Putrajaya, peluang mencari rezeki terbuka luas. Namun saya akui ada sedikit sebanyak kesukaran disebabkan peraturan ketat dan kawalan tempat perniagaan
“Dalam situasi sekarang, saya dengan bantuan beberapa agensi dan pegawai di kementerian merangka satu program atau kaedah di mana kita memilih lebih 1,000 lokasi strategik yang sesuai dijadikan tempat perniagaan kiosk,” katanya.
Beliau ditemui selepas melawat perusahaan akok Pok Long di Kampung Padang Mengkali, di sini, hari ini.
Mereka yang berminat boleh membuat permohonan mulai Rabu depan dengan bayaran yang sangat minima.
Namun individu yang diberikan peluang diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyewakan kiosk tersebut kepada pihak lain.
“Justeru, sesiapa yang mahu berniaga atau memilih mana-mana kiosk sama ada kecil atau besar boleh membuat permohonan mulai 1 Julai ini dengan pembayaran sewa yang sangat minima.
“Namun, kita tegaskan supaya mana-mana individu yang menyewa supaya tidak mengambil keuntungan atas angin dengan menyewa semula kiosk berkenaan kepada individu lain.
“Apa yang kita mahukan mereka yang berminat berniaga atau hilang pekerjaan kembali mampu mencari sumber pendapatan dengan berniaga. Pada masa sama kita mahu peniaga menjaga kebersihan dan menghias kiosk berkenaan bagi mencantikkan lagi Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, sebahagian lokasi yang dikenal pasti itu sudah disediakan kiosk oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).-SM