Politik

10 termasuk 3 muka baharu dilantik Exco Negeri Selangor

TUJUH muka baharu melengkapkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor mengangkat sumpah bagi memegang jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Selangor, hari ini.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah itu dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang bermula jam 2 petang tadi.

Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.

Dalam majlis itu, 10 ADUN mengangkat sumpah terdiri daripada tiga wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dr Mohammad Fahmi Ngah (Seri Setia), Najwan Halimi (Kota Anggerik) dan Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat).

Sementara DAP pula diwakili oleh Ng Sze Han (Kinrara), Ng Suee Lim (Sekinchan), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Papparaidu Veraman (Banting).

Exco Parti Amanah Negara (Amanah) dan Barisan Nasional (BN) pula diwakili Ir Izham Hashim (Pandan Indah) dan Anfaal Saari (Taman Templer) serta wakil tunggal BN, Rizam Ismail (Sungai Air Tawar).

Kerajaan Selangor mengekalkan Sze Han, Borhan dan Izham muka lama dalam barisan Exco Selangor manakala tujuh lagi adalah muka baharu.

Terdahulu, ADUN Sungai Tua, Datuk  Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.

Menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-17, Amirudin telah melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan itu. – SINAR HARIAN – SM

BACA Amirudin Shari dilantik Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua
BACA Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button