Zul Ariffin sanggup tolak cinta demi kerjaya lakonan
TIDAK mahu kerana cinta, fokusnya terhadap kerjaya lakonan terganggu.
Itulah prinsip yang dipegang pelakon, Zul Ariffin yang membuatkan dia sehingga kini masih lagi selesa membujang dan tidak terikat dengan sebarang komitmen.
“Tidak kira sama ada saya mempunyai hubungan dengan orang luar atau dalam industri, prinsip itu kekal sama sahaja.
“Jika perhubungan atau cinta itu boleh menganggu kerja saya, pasti saya akan terus buat keputusan untuk putuskan hubungan itu terus,” katanya ketika ditemukan dalam sidang akhbar filem Juang, semalam.
Menurut Zul, sejak dari dulu lagi kerja seninya sentiasa menjadi keutamaan apatah lagi dunia lakonannya dibentuk sejak dari awal lagi.
Jelas pelakon filem Sangkar ini, dia pernah beberapa kali berhadapan dengan hubungan toksik yang boleh menganggu emosi.
Ditanya adakah pengalaman silam membuatkan dia serik untuk bercinta, jelas Zul, dia tidak pernah mengambil pengalaman itu sebagai sesuatu yang serius.
“Saya tidak serik dengan pengalaman hubungan cintak toksik sebelum ini. Cuma memutuskan perhubungan itu adalah cara saya mengawal situasi.
“Sebagai seorang pelakon, saya tidak mahu masalah-masalah cinta ini menyelubungi kerja saya,” katanya.
Sementara itu, Zul memberitahu yang dia memerlukan seorang wanita yang cukup faham mengenai sikapnya yang menjadikan lakonan sebagai tumpuan utamanya.
Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, Zul memberitahu yang dia bakal terlibat dengan sebuah filem yang berkisar mengenai perjuangan rakyat Malaysia menentang Covid-19.
“Filem berjudul Juang ini akan melibatkan enam orang pengarah dan saya memang teruja kerana filem ini berkisarkan kisah yang kita semua hadapi sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, turut berlakon sebagai watak utama dalam filem itu ialah Zizan Razak dan Jack Lim serta akan diterbitkan oleh tiga produksi iaitu Suhan Movies & Trading, Tropical Films dan The Film Engine.
Bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi, tanggungjawab pengarahan akan digalas enam sutradara berkaliber iaitu Eirma Fatima, Aziz M Osman, Matt Lai, Kabir Bhatia, Osman Ali dan Yusry Abdul Halim dengan membabitkan 100 pelakon dan 200 tenaga kerja produksi. -SM