
Zakat instrumen penting lonjak pembangunan masyarakat – Raja Muda Perlis
SIMPANG EMPAT 11 April – Zakat bukan sahaja berperanan dalam membantu menjana pertumbuhan ekonomi negeri Perlis, malah pengurusannya yang efisien dan sistematik mampu melonjakkan potensinya sebagai instrumen pembangunan rakyat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Simpang Sanglang, Simpang Empat.
Baginda juga mengajak semua rakyat negeri Perlis untuk bersama-sama berusaha untuk terus memperbaiki keperibadian diri, menjadi contoh yang baik dalam segala aspek kehidupan. Dengan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, kita akan dapat membina masyarakat yang lebih harmoni, aman, dan diberkati oleh Allah SWT.
Kayuhan amal ini merupakan salah satu usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk membantu golongan kurang bernasib baik di Negeri Perlis. Program ini juga bertujuan memberi motivasi kepada mereka supaya dapat keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.
Inisiatif ini turut menerima sokongan kuat daripada ketua-ketua jabatan serta agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, yang bersama-sama berganding tenaga menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Izemi Ahmad, 76 tahun dari Kampung Simpang Sanglang, Rabiah Din, 73 tahun dari Kuala Sanglang dan Hashim Yaakob, 83 tahun dari Kampung Rama.
Pada edisi kali ini, golongan asnaf terpilih menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan mereka.
FOTO