Politik

Zahid tegas dalam lembut

DALAM satu taklimat senario politik semasa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu tidak akan bersama dengan DAP sama ada sebagai pembangkang, mahupun kerajaan.

Perkara itu dibuktikan apabila DAP memilih menjadi pembangkang, UMNO memutuskan untuk bersama Pas dan Bersatu untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun perikatan itu bukan sahaja tidak stabil, tetapi penuh dengan ketidakikhlasan sehingga ke tahap kronik.

Pas yang kelihatan begitu ikhlas ketika sama-sama menjadi pembangkang, juga mula bermain silat lidah dan silap mata.

Bukan mudah buat UMNO untuk melayari bahtera bersama-sama orang yang mengkhianati mereka, ketika darah luka masih lagi basah.

Ditambah pula luka baharu akibat ditikam dari belakang, ia menjadikan UMNO sudah tidak mampu lagi menahan sabar.

Lantas apabila Presiden menyatakan kemungkinan bekerjasama dengan DAP tidak ramai pemimpin UMNO yang membantahnya.

Di peringkat akar umbi juga tidak kuat membantah sehingga mahu membubarkan cawangan dan sebagainya.

Ini bukan pertama kali UMNO bekerjasama dengan parti pembangkang, kerana parti Gerakan juga asalnya parti pembangkang, tetapi akhirnya menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

Namun mereka memutuskan untuk meninggalkan BN selepas tewas pada pilihan raya lalu.

MIC dan MCA sebagai rakan komponen setia, tetapi sudah menjadi tidak relevan kerana sukar mendapat kepercayaan penyokong masing-masing. Penyokong mereka sudah lari ke DAP dan PKR.

Akhirnya perkara itu sekali lagi dibuktikan apabila UMNO, Pas dan Bersatu kembali menjalinkan kerjasama. Pertelagahan di dalam Perikatan Nasional (PN) ibarat Carik-carik Bulu Ayam, Akhirnya Bercantum Jua.

Biduk Berlalu, Kiambang Pun Bertaut. Tidak perlu Berpatah Arang, Berkerat Rotan.

Dalam hal ini Zahid sekali lagi menunjukkan bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa besar kerana memohon maaf bagi pihak ahli-ahli dewan undangan negeri BN Perak yang membangkitkan usul percaya kepada MB Perak tempoh hari.

Akhirnya matlamat untuk mempertahankan kerajaan PN di Perak telah berjaya dilaksanakan dan yang bertukar hanyalah Menteri Besar.

Ramai juga yang tidak sedar Zahid sering mengambil pendekatan lembut tetapi tegas dalam menyelesai sebarang kemelut.

Sehingga ada yang salah faham dan menuduh Zahid sebagai pemimpin yang lembab dan tidak pandai membuat kerja serta memimpin UMNO serta BN.

Apa yang berlaku di Perak adalah meletakkan sesuatu kepada haknya iaitu parti terbesar harus menerajui dan bukannya dicucuk hidung serta dibuli oleh parti yang kecil jumlah wakil rakyatnya.

Namun secara asasnya apabila Zahid melahirkan kemungkinan bekerjasama dengan DAP, tiada tentangan besar-besaran ditunjukkan oleh para pemimpin dan ahli akar umbi. Pilihan itu masih terbuka.

Ini bermakna jika selepas pilihan raya umum kelak dan PN gagal membentuk kerajaan yang stabil, maka pilihannya adalah bekerjasama dengan Pakatan Harapan bagi memastikan kerajaan stabil dibina supaya dapat memacu pemulihan ekonomi negara yang telah hampir terbantut sepenuhnya dek kerana pandemik Covid-19 dan kemelut politik berpanjangan.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button