Zahid presiden yang banyak muslihat
Mantan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang banyak menipu dan bermuslihat berbanding pihak lain.
“Kita lihatlah apa yang pernah beliau sampaikan semasa pemilihan 2018, Presiden sendiri berjanji bahawa pemilihan UMNO akan diadakan tiga tahun sekali dan tidak akan ditangguhkan demi kebaikan parti.
“Akhirnya apa jadi tahun 2021? Malah, minta tangguh yang akhirnya selepas PRU 15, keluar kenyataan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan,” katanya.
Muqharabbin berkata, dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU), Ahmad Zahid sanggup bersumpah dengan nama Allah tidak akan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP, tetapi akhirnya dia memilih PH DAP sebagai rakan sekutu.
“Walaupun mengetahui mudarat bersama DAP adalah lebih besar berbanding kerjasama dengan Perikatan Nasional, namun Presiden tetap mengambil risiko untuk jalinkan kerjasama.
“Sehingga kini saya masih tidak faham kenapa ahli-ahli UMNO terus diperbodohkan dan sanggup mengampu pemimpin yang banyak merosakkan parti UMNO.
“Kita merasa gah bila menang di beberapa Pilihanraya kecil (PRK) dan Pilihanraya Negeri (PRN) selepas kita tumbang PRU 14, tapi lupa siapa bersama kita semasa kita jatuh iaitu Pas,” katanya lagi.
Menurutnya, akar umbi Umno menyanyikan ‘Terima Kasih’ kepada pengundi PAS dan jentera PAS yang banyak menyokong dan turun padang bagi meraih undi.
“Ini termasuk Himpunan ICERD ramai ahli PAS yang turun hadir bersama tanpa meminta sesenpun wang? Tapi kini kita dimomokkan dan direka karyakan bahawa PAS banyak muslihat. Ini semua dusta.
“Dulu masa BN berkuasa dan menang majoriti, apa yang mereka doktrinkan kepada kami anak muda dan ahli UMNO? “DAP rasislah, DAP musuh Islam Melayulah , DAP biadaplah, DAP itu ,DAP ini”. Tapi bila UMNO lemah, diubah pula naratif, kita harus bekerjasama dengan DAP demi Perpaduan, Kestabilan dan Kemakmuran. Politik apakah ini,” soalnya.
Beliau turut menempelak Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamad apabila menyatakan PPBM bergantung kepada PAS, bagaimana pula Umno?
“UMNO BN kini bergantung kepada siapa, Amanah ke PKR,” DAP!!! katanya.
Muqharabbin menyuarakan pandangan, sebagai budak hingusan dalam politik, sekiranya ingin memilih panglima perang, janganlah mereka yang kalah perang berkali-kali, hingga kubu sendiri pun hancur lebur.
“Daripada pengamatan saya, panglima perang Umno BN tidak pernah belajar pengalaman lalu, kekalahan semyanya dek kerana terlalu yakin berjalan sendiri.
“Apapun saya dah ‘move on’ dan malas ambil tahu pasal UMNO, tapi sekali sekala kena juga bersuara untuk kawan-kawan yang masih dalam UMNO supaya segera sedar sebelum terlambat.
“Jangan dibiar barah yang merebak, kelak mati tiada ubatnya. Tukarlah nakhoda kapal yang tahu tempat berlabuh yang selamat, bukan terus berlayar dengan kompas yang rosak iaitu halatuju yang jauh menyimpang daripada perjuangan hakiki parti United Malay National Organisation,” tambahnya lagi.