YonnyBoii dituduh ambil pil kuda
HANYA kerana bersifat hiperaktif, penyanyi dan komposer yang popular dengan lagu Sakit, YonnyBoii mengakui pernah dituduh mengambil kuda.
Namun, YonniyBoii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, langsung tidak mengambil peduli dengan sebarang tuduhan terhadapnya.
“Saya malas nak layan tuduhan yang dilemparkan sebab saya tidak buat pun benda tu. Kadang-kadang ada juga saya mengiyakan sebab malas nak panjangkan isu.
“Saya tahu jika dibalas atau dijawab, situasi akan jadi lebih buruk. Jadi lebih baik saya ambil pendekatan berdiam diri sahaja,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single duet Kelabu bersama Azlan Typewriter di ibu pejabat Universal Music Malaysia, Menara Symphony, Petaling Jaya, Selangor hari ini.
BACA> Rolling Stone bengang dengan Donald Trump
YonnyBoii turut mendedahkan yang dia sebenarnya mempunyai penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan atau Hiperaktif.
Perkara itu baru diketahui selepas dia bertemu dengan rakannya yang juga seorang doktor.
“Tak ramai yang tahu saya mempunyai penyakit ADHD. Saya sendiri pun baru tahu mengenai penyakit ini tahun lalu melalui kawan yang juga seorang doktor.
“Saya sedar memang kelakuan sedikit berbeza daripada rakan-rakan sebaya tapi tak sangka pula tingkah laku saya mempunyai kaitan dengan ADHD,” katanya.
Menganggap penyanyi itu sebagai anugerah buatnya, YonnyBoii berkata dugaan itu memberinya lebih banyak ilham untuk berkarya dalam bidang seni.
Sementara itu, mengulas mengenai duet bersama Azlan menerusi lagu Kelabu, YonnyBoii berkata lagu itu itu adalah berdasarkan kisah hidupnya yang sering dibuli.
“Setiap bait lirik yang ada dalam lagu ini mempunyai kaitan dengan sejarah silam hidup saya yang pernah dibuli sejak kecil. Jadi saya nak buka mata orang untuk hentikan perbuatan membuli dengan menghayati lirik-lirik yang lahir daripada pengalaman mangsa buli itu sendiri,” ujarnya lagi.
Rakaman lagu Kelabu dibuat secara berasingan pada April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuatkuasa di negara ini. -SM