
Yayasan Bank Rakyat terima anugerah ‘Excellence Award’
YAYASAN Bank Rakyat (YBR) terus mengukuhkan reputasi dalam memperkasakan masyarakat apabila menerima pengiktirafan ‘Excellence Award’ dalam kategori Organisasi Bukan Berkeuntungan di Majlis Malaysia National Business Awards 2025.
Menurut Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Ariffin, pengiktirafan ini adalah hasil usaha berterusan yayasan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan program kemasyarakatan.
“Anugerah ini adalah satu pencapaian besar bagi YBR dan bukti komitmen kami dalam memacu pembangunan masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
“Ia juga menjadi motivasi kepada kami untuk terus melaksanakan program yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah berprestij itu disampaikan dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hotel InterContinental, di sini pada Khamis.
Khairul Na’im yang juga wakil pengurusan kanan YBR hadir menerima anugerah tersebut bagi pihak organisasi berkenaan
Tambahnya, kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak yang sentiasa bersama YBR dalam usaha memperkasakan masyarakat.
Sepanjang tahun 2024, YBR telah memperuntukkan RM41 juta bagi menaja Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada 424 pelajar Institut Pengajian Tinggi di seluruh negara.
Selain itu, yayasan ini turut melaksanakan sebanyak 933 program tanggungjawab sosial korporat (CSR), memberi manfaat kepada lebih 185,000 penerima di seluruh Malaysia.
Pengiktirafan yang diterima ini mengukuhkan lagi peranan YBR dalam memastikan bantuan pendidikan dan kebajikan terus disalurkan kepada golongan yang memerlukan, sejajar dengan matlamatnya untuk membangunkan masyarakat yang lebih lestari dan berdaya saing. SM – SINAR HARIAN