Sukan

Yakeb, Kerajaan Selangor anjur program bantu bekas atlet

KERAJAAN Selangor dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada bekas atlet dan atlet orang kurang upaya (OKU).

Sebanyak RM195,350 peruntukan dihulurkan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

Daripada peruntukan tersebut, seramai 50 orang akan dibantu dengan pembelian peralatan tertentu, keperluan dan kelengkapan rumah pada peringkat awal bernilai sehingga RM5,000.

Bantuan tersebut akan dihulurkan kepada mereka dalam program Ceria Atlet Selangor 2020 mulai esok dan Ahad.

“Program ini akan bermula pada 5 dan 6 September ini dengan melibatkan aktiviti membaikpulih dan menyalurkan sumbangan.

“Termasuklah kelengkapan rumah seperti perabot kepada bekas atlet Selangor termasuk anak Selangor yang pernah mewakili negara di temasya antarabangsa.

“Menerusi program ini Kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk membantu sekurang-kurangnya 50 rumah bekas atlet dan atlet OKU di seluruh negeri.

“Itu pada peringkat awal kerana terdapat 250 permohonan diterima oleh Yakeb dan penilaian dibuat oleh pejabat Exco, Unit Perancang Ekonomo Negeri (UPEN) dan Yakeb.”

Demikian kata Pengerusi jawatankuasa tersebut, Mohd. Khairuddin Othman dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Ceria Atlet Selangor 2020.

Majlis tersebut berlangsung semalam di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor.

Tambah Mohd. Khairuddin, inisiatif tersebut diambil Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan dalam kalangan belia.

“Penganjuran program ini bertepatan dengan saranan Teras Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan seperti termaktub dalam Dasar Belia Selangor.

“Justeru, Kerajaan Selangor berbesar hati dengan penglibatan bersama Penggerak belia Tempatan (Pebt) dalam program ini.

“Termasuklah UPEN, Majlis Sukan Negeri Selangor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

“Pelaksanaan program ini merupakan satu inisiatif bagi menzahirkan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bekas atlet dan atlet OKU Selangor.

“Juga sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka yang pernah mengharumkan nama negara, khususnya Negeri Selangor,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button