Ekonomi

Westfield, Marriott meterai kerjasama urus The Westin Penang

GEORGETOWN 3 April – Westfield Global Sdn Bhd dan Marriott International memeterai perjanjian kerjasama pengurusan hotel bagi ‘The Westin Penang’ dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Marriott Pulau Pinang, Georgetown pada isnin petang.

Berkenan berangkat menyaksikan majlis penandatanganan bersejarah tersebut ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Westfield Global Sdn Bhd, Datuk Yeoh Yin Sean dan Naib Presiden Kanan (Pembangunan Hotel Asia Pasifik) Marriott International, Kevin Chen.

‘The Westin Penang’ dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2026 dengan 217 bilik dan suite yang menawarkan para tetamu pemandangan laut yang menarik. Antara faktor tarikan utama hotel ini adalah lokasi strategiknya yang berdekatan dengan kompleks membeli belah Gurney Plaza dan Gurney Paragon di Persiaran Gurney, taman rekreasi Gurney Bay Park yang baru dibuka serta pelbagai tempat yang menarik lain di sekitarnya.

Ia kelak dijangka akan menjadi antara pilihan untuk menjalankan aktiviti dan pelbagai acara seperti perkahwinan, seminar, bengkel atau persidangan kerana dilengkapi dengan pelbagai fasiliti dan kelengkapan yang luas serta terkini bagi menampung sehingga 1,000 orang peserta.

Hotel di Pulau Pinang ini juga akan menjadi Westin Hotel yang keempat di Malaysia selain The Westin Kuala Lumpur, Westin Desaru Coast Resort, dan Westin Langkawi Resort & Spa.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button