Warga Palestin desak proses permohonan pulang ke negara mereka dipercepatkan
PADA Sabtu lalu, beberapa klip video tular di media sosial menunjukkan kekecohan yang melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL). Insiden tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 5 petang.
Dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan bahawa kekecohan dipercayai berpunca daripada desakan warga Palestin untuk mempercepatkan proses permohonan pulang ke negara asal mereka.
“Pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah segera bertindak untuk berbincang dengan warga Palestin yang terlibat. Situasi tersebut dapat dikawal dengan baik tanpa sebarang insiden pergaduhan atau kecederaan. Bagaimanapun, terdapat sedikit kerosakan pada peralatan perabot di WTKL,” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan.
Kekecohan itu akhirnya berakhir sekitar jam 7.30 malam setelah warga Palestin bersurai secara aman. ATM turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut bagi mengelakkan salah faham yang boleh memburukkan keadaan.
Insiden Serupa Pernah Berlaku
Ini bukan kali pertama kekecohan melibatkan warga Palestin dilaporkan berlaku di WTKL. Pada Oktober tahun lalu, seorang wanita warga Palestin membuat kecoh di hadapan Balai Pengawal WTKL.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, telah mengecam tindakan tersebut dan menyampaikan permohonan maaf kepada Kerajaan Malaysia serta rakyat Malaysia atas insiden berkenaan. Beliau juga menyatakan penghargaan terhadap sokongan kuat Malaysia kepada perjuangan Palestin, khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia.