Warga Filipina guna kad pengenalan Malaysia untuk bekerja
HELAH warga Filipina guna kad pengenalan (MyKad) palsu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan terbongkar selepas dicekup di sebuah premis perniagaan di sini, pada Khamis lepas
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu bertindak menahan tiga lelaki warga Filipina menerusi serbuan Ops Pengawal Keselamatan.
Bahagian Penguatkuasa JPN berkata, siasatan awal mendapati suspek memperoleh MyKad palsu terbabit daripada ejen dengan harga dianggarkan RM250.
“Tiga orang pekerja pengawal keselamatan ditahan disyaki menggunakan salinan kad pengenalan kad pengenalan palsu sebagai identiti mereka.
“Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 27 tahun hingga 55 tahun dan kesemuanya merupakan warga Filipina,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, operasi terbabit dijalankan susulan pemantauan dan risikan selama dua minggu di lokasi berkenaan.
Katanya, ketiga-tiga suspek terbabit tidak mempunyai sebarang hubungan antara satu sama lain dan tindakan diambil mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Seorang suspek akan didakwa di mahkamah, manakala dua lagi akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” katanya.
Kredit – SHarian