Kemalangan

Warga emas maut kereta dilanggar dari belakang

Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain dan sebuah lori berhampiran Hutan Simpan Sungai Udang dekat sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 11.00 pagi itu menyebabkan pemandu kereta Proton Saga, Yahya Mohd. Talip, 69, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, pemandu kereta Perodua Myvi dikenali sebagai Mohd. Hambali Rosli, 30, sekadar luka dibibir manakala pemandu lori, Ahmad Zakry Razalli, 29, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal kereta Proton Saga dan Perodua Myvi datang dari arah Sungai Udang menuju ke Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Lori jenis Hino remuk sedikit di bahagian bucu kiri dalam kemalangan di Hutan Simpan Sungai Udang, Melaka.

Beliau berkata, manakala lori jenis Hino itu pula datang dari Paya Mengkuang ke Bukit Rambai.

“Setibanya di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvi telah melanggar belakang kereta Proton Saga yang dipandu Yahya.

“Akibatnya, kereta Proton Saga itu telah memasuki ke laluan bertentangan sebelum dilanggar di bahagin tepi lori yang datang dari arah depan.

“Kereta yang dipandu Yahya remuk teruk dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan kecederaan parah serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya di sini hari ini.

Sementara itu berdasarkan kamera papan pemuka milik lori berkenaan cukup jelas melihat kereta Perodua Myvi telah melanggar belakang Proton Saga hingga menyebabkan kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori dari arah depan.

Arshad berkata, mayat mangsa yang bekerja sendiri dan menetap di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang telah dihantar ke bahagian Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kesemua kenderaan terbabit telah dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kerosakan.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta
Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button