Kemalangan

Warga emas masih terlantar selepas diserang gajah

KUALA LUMPUR 5 April – Jika semalam negara digemparkan dengan kejadian seorang lelaki parah diserang harimau kumbang, sebelum ini seorang warga emas juga parah selepas diserang gajah liar.

Dalam kejadian di Kampung Laloh, Kuala Krai, ketika menoreh getah di belakang rumahnya pada 20 Mac lalu masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Zainab Mat Husin, 62, parah di kedua-dua belah tangan, yang mana pergelangan tangan kanannya hampir putus dan paha kanannya terkoyak.

Menurut menantunya, Nisha Ali, 37, ibu mentuanya kini dalam keadaan stabil, namun masih lemah selepas menjalani tiga kali pembedahan bagi membuang daging buruk di bahagian paha kanannya untuk mengelak jangkitan kuman.

“Kecederaan parah yang dialami ibu turut menyebabkan dia belum mampu untuk menguruskan diri sendiri dan perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang di sekeliling untuk bergerak.

“Kejadian itu memberi kesan trauma yang mendalam kepada ibu, namun kami sentiasa memberi sokongan kepadanya supaya kuat semangat dan tidak mengingati tragedi yang hampir meragut nyawanya itu,” katanya ketika dihubungi, dihubungi Harian Metro hari ini.

Dalam pada itu, Nisha berkata, Aidilfitri yang disambut mereka sekeluarga pada tahun ini juga suram disebabkan tragedi itu berlaku ketika Ramadan dan tidak ada persiapan dilakukan untuk menyambut 1 Syawal.

“Bagi kami tidak ada yang lebih penting selain melihat ibu kembali sihat seperti sedia kala,” katanya.

Katanya, pada ketika ini, penduduk kampung juga masih dalam keadaan berwaspada berikutan gajah liar berkenaan masih belum ditangkap.

“Kebanyakan penduduk kini tidak berani keluar rumah pada waktu malam disebabkan bimbang akan terserempak dengan gajah liar itu yang mungkin berada di sekitar perkampungan mereka.

“Penduduk kampung berharap gajah liar itu dapat segera ditangkap bagi memastikan keselamatan penduduk, dan pada masa sama, turut berterima kasih kepada anggota Perhilitan yang bertungkus lumus dalam usaha mengesan gajah berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas wanita dan seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) parah akibat diserang gajah liar dalam dua kejadian berasingan di kawasan penempatan Laloh, Kuala Krai. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button