Wanita tidak boleh senyum sejak lahir, alami penyakit ‘rare’
SEORANG wanita New Zealand telah dilahirkan dengan keadaan tidak mampu tersenyum selepas mengalami keadaan kongenital yang jarang berlaku dan menjejaskan hanya seorang dalam empat juta orang.
Walaubagaimanapun, wajah masamnya tetap tidak menghalang dirinya daripada menjadi atlet yang memberi inspirasi kepada mereka yang melalui perjuangan yang sama.
“Saya kini tahu bahawa saya dilahirkan untuk menonjol,” kata Tayla Clement yang berumur 24 tahun.
Menurut laporan New York Post, dia mengatakan kepada Jam Press mengenai gangguan neurologi yang luar biasa itu dipanggil sindrom Moebius di mana sindrom tersebut menjejaskan otot yang mengawal ekspresi muka dan pergerakan mata.
Akibat penderitaannya, Clement telah menghabiskan seluruh hidupnya tidak dapat menggerakkan matanya dari kiri ke kanan, mengangkat keningnya dan tidak dapat menggerakkan bibir bahagian atasnya.
“Ia tidak selalunya mudah,”
“Saya telah menghabiskan bertahun-tahun dalam hidup saya membenci senyuman saya dan berharap saya mempunyai senyuman normal serta berharap saya tidak wujud kerana itu kelihatan lebih mudah daripada hidup, tetapi saya masih di sini kerana beberapa keajaiban,” katanya.
Malangnya, Moebius tidak mempunyai penawar walaupun gejalanya boleh dirawat.
Dalam pada itu, ketika berusia 12 tahun, Clement yang berwajah beku menjalani ‘pembedahan senyuman’ di mana doktor memindahkan tisu lembut daripada paha ke mukanya dalam usaha untuk memulihkan senyumannya itu.
Namun begitu, prosedur itu gagal menyebabkan Clement mengalami muka bengkak dan lebam.
Kerana wajahnya yang pelik, dia dibuli tanpa belas kasihan ketika mula bersekolah dan mengatakan dia turut diketawakan oleh rakan-rakan lain.
“Kanak-kanak akan menjerit di hadapan saya dan mengatakan mereka takut kepada saya, tetapi kemudian melarikan diri sambil ketawa. Saya berasa sangat terasing,” luahnya.
Tetapi Clement tidak berputus asa dan disebabkan keadaannya, dia telah dihubungi oleh New Zealand Athletics dan kembali ke sukan olahraga lontar peluru dan mendapat tempat pertama dalam Victorian State Championships di Melbourne pada tahun 2018.
Pada tahun berikutnya, Clement bertanding di New Zealand National Champioship, di mana dia melemparkan jarak 8.28m dan berjaya memecahkan rekod dunia klasifikasi F43.
Ketika ini dia sudah bersara daripada menjadi atlet para dan menjadi penceramah motivasi untuk memberi inspirasi kepada orang lain yang mengalami nasib sama sepertinya. – SM