
Wang tunai RM170 juta, 16kg jongkong emas dalam 3 peti besi di ‘safe house’ – Azam Baki
PUTRAJAYA: Wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas ditemui di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan ‘safe house‘ oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, barang rampasan itu ditemui di tiga peti besi kediaman terbabit.
“Selain ringgit Malaysia, wang tunai ini antaranya melibatkan mata wang antarabangsa baht, riyal, pound sterling, won, euro, swiss France dan yuan.
“Siasatan SPRM mendapati ‘safe house‘ di Kuala Lumpur itu disewa oleh seseorang dan mungkin salah seorang daripada empat suspek yang ditangkap sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin, lapor Sinar Harian
Beliau berkata, SPRM juga sedang meneliti dan menyiasat sekiranya terdapat aset lain membabitkan kes ini.
Jelasnya, perkara itu ada kemungkinan dan siasatan masih diteruskan.
“Kita siasat kes ini dengan profesional tanpa memilih darjat dan kedudukan seseorang.
“Kita lihat isu Keluarga Malaysia dan meneliti dokumen yang dirampas. SPRM siasat sedalamnya kes ini bukan sahaja mengenai projek terbabit, tapi siapa sahaja yang dapat ‘manfaat’ berhubung kes ini,” ujarnya.
Media tempatan pada Ahad melaporkan Ismail Sabri diarahkan SPRM untuk membuat pengisytiharan harta susulan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dilaporkan berkata, arahan itu adalah mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.
SPRM kemudian turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan merampas 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Sebelum ini, dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri, ditahan SPRM bagi membantu siasatan lanjut berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.
Tiga individu kemudian direman lima hari bermula 21 Februari, manakala seorang lagi direman tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu Bernama melaporkan kertas siasatan kes rasuah membabitkan seorang wartawan sebuah portal berita yang ditahan pada Jumaat lepas, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Azam Baki berkata kertas siasatan itu diserahkan bagi membolehkan pihak berkenaan membuat penilaian mengenai kes itu.
Beliau berkata penahanan itu dibuat susulan pengadu mendakwa wartawan itu telah meminta sejumlah wang dan ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Dalam hal ini, bila permintaan wang telah dibuat walaupun oleh seorang wartawan yang pada syak kita permintaan itu adalah berkaitan sesuatu perkara iaitu tidak menerbitkan suatu artikel.
“Dia (disyaki) memaksa pengadu itu untuk membayar wang, maka satu kesalahan rasuah dan kesalahan rasuah ini bukan hanya tertakluk kepada penjawat awam ataupun ahli politik sahaja,” katanya.