Politik

Wan Saiful ingatkan Kit Siang, tidak ada sebab ragu dengan Muhyiddin

Pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang tidak ada sebab untuk berasa ragu dengan peranan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, rekod Muhyiddin dalam memulihkan negara ketika ini adalah satu rekod kejayaan.

Menurutnya, kerajaan telah membuat keputusan yang betul untuk melantik Muhyiddin mengetuai MPN

“Hasil-hasil perancangan Tan Sri Muhyiddin sudah mula dirasai hari ini. Peratusan yang mendapat vaksin adalah tinggi dan terus meningkat. Bekalan vaksin kita mencukupi.

“Tan Sri Muhyiddin arahkan supaya RM530 billion diagihkan untuk bantu rakyat. Jumlah yang amat besar. Bukan macam DAP yang mahukan rakyat bersyukur sebab dapat RM30 sahaja.

“Perniagaan kecil dan sederhana juga mendapat pelbagai bantuan dalam usaha memulihkan ekonomi. Tak ada sebab nak bimbang dengan peranan Tan Sri Muhyiddin kerana hari ini rekod Tan Sri Muhyiddin ialah rekod kejayaan,” kata Wan Saiful.

Beliau mengulas serangan terbaharu Ahli Parlimen Iskandar Puteri terhadap bekas Perdana Menteri itu melalui catatan di blognya hari ini.

Kit Siang berkata, beliau mempunyai “great reservation” atau “amat ragu” terhadap Muhyiddin yang dilantik menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Ahli Parlimen DAP itu menuduh Muhyiddin bertanggungjawab menyebabkan negara kalah dalam perang melawan wabak Covid-19 dan membawa kepada berjuta kes dan berpuluh ribu kematian akibat Covid-19.

Sementara itu Wan Saiful berkata, rakyat Malaysia patut bimbang kepada DAP kerana parti itu didakwa berterusan mengelabui mata rakyat mengenai agenda dan ideologi mereka.

“Asalnya DAP menganut fahaman sosialisme demokratik tapi kemudian perkataan itu diubah kepada demokrasi sosial.

“Laman web DAP sendiri mengakui asal usulnya. Kita semua wajib bimbang apa sebenarnya agenda parti yang datang dari keluarga sosialis ini,” kata Wan Saiful.

Beliau turut mempersoalkan bantahan bebrapa pemimpin DAP terhadap langkah kerajaan memperketatkan syarat program ‘Malaysia My Second Home’ (MM2H).

“Kononnya jika syarat MM2H diperketatkan, maka akan berlaku “mass exodus” orang-orang asing yang kaya.

“Soalannya, dari negara mana mereka yang DAP nak permudahkan masuk ke negara kita ini? Apa agenda sebenar DAP pertahankan mereka? Ini lebih patut kita bimbang,” kata Wan Saiful.

Menurut Wan Saiful, beliau sendiri berpandangan memang Malaysia mahu pelabur asing datang ke Malaysia termasuk melalui MM2H.

Namun, syarat-syarat yang ketat diperlukan supaya tiada salah guna dan program tersebut mencapai matlamat.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button