Nasional

‘Walk-In’ Sahaja Untuk Dapatkan Dos Penggalak Bagi Yang Layak Mulai 22 November

MESYUARAT Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam bersetuju untuk melaksanakan pendaftaran secara ‘walk-in’ bagi yang layak di pusat vaksinasi kemudahan kesihatan (PPV) di seluruh negara bermula 22 November depan.

CITF-B dalam kenyataan berkata pendaftaran ‘walk-in’ tersebut bertujuan untuk membolehkan mereka yang layak menerima suntikan penggalak menerima suntikan lebih awal daripada tarikh temujanji mereka.

Tambahnya, individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19, mereka yang terlepas temujanji vaksinasi dan remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun yang masih belum melengkapkan vaksinasi mereka juga boleh mendapatkan vaksin di PPV yang sama.

“Keutamaan dalam pemberian dos penggalak adalah kepada petugas barisan hadapan, keselamatan dan pertahanan; individu berumur 40 tahun ke atas; individu berumur 18 tahun ke atas dengan komorbiditi; penghuni dan kakitangan di pusat penjagaan kesihatan jangka panjang; ibu mengandung; dan mereka yang dikehendaki pergi ke luar negara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, CITF-B percaya pendekatan tersebut akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak menerima suntikan penggalak secara sukarela tanpa perlu menunggu lama.

Katanya mereka yang telah mendaftar lebih awal dan berada dalam senarai menunggu akan dihubungi oleh pengamal perubatan swasta sekiranya terdapat pembatalkan temujanji dan ndividu yang menerima temujanji di MySejahtera tidak hadir.

Menurut CITF-B, pendekatan tersebut akan membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum.

Selain daripada pendaftaran secara ‘walk-in’ di PPV fasiliti kesihatan swasta, pendaftaran juga boleh dilakukan melalui telefon dan e-mel.

Orang ramai boleh merujuk dan menghubungi senarai PPV yang menyediakan perkhidmatan walk-in, telefon atau e-mel untuk mendaftar temujanji melalui www.protecthealth.com.my mulai 22 Nov.

Sehingga kini, lebih daripada satu juta dos penggalak telah diberikan kepada mereka yang layak di seluruh negara. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button