Nasional

Terus Tangkas Lawan Penyakit, Malaysia Sedia Jadi Hab Rawatan Hepatitis C

MALAYSIA akan bersedia bagi menawarkan akses kepada penyelesaian rawatan berkesan dan mampu bayar bagi pesakit yang menghidap Hepatitis C.

Menurut laporan Astro Awani, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa perkara ini adalah merupakan susulan kelulusan bersyarat yang diberikan kepada negara dan pertama di dunia bagi kombinasi ubat Ravidasvir dengan Sofosbuvir.

Tambahnya dalam majlis perasmian Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C sempena insigHT2021, pada Selasa bahawa Malaysia memberikan penawar kepada pesakit penyakit itu dengan kadar kesembuhan sebanyak 97 peratus.

“Sebagai respons kepada tema Hari Hepatitis Dunia 2021, ‘Hepatitis Can’t wait’, Malaysia kini bersedia dan sangat teruja bagi melangkah ke hadapan bagi memberikan penyelesaian rawatan kepada mereka yang dijangkiti penyakit ini.

“Ini sejajar dengan misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengurangkan penularan jangkitan virus hepatitis baharu sebanyak 90 peratus dan mengurangkan kematian disebabkan virus hepatitis sebanyak 65 peratus menjelang tahun 2030.

“Malaysia menawarkan rawatan kepada pesakit Hepatitis C dengan kadar kesembuhan sebanyak 97 peratus dan pengurangan kos sebanyak 95 peratus,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope mengatakan bahawa pihaknya amat komited untuk menjayakan penawaran rawatan baharu tersebut.

“Melalui kepakaran kami dalam bekalan, logistik dan pengedaran Ubat Hepatitis C kepada Hospital Ahli MHTC, kami berasa bangga dapat memberikan sumbangan kepada matlamat bersama Malaysia dan WHO untuk menghapuskan Hepatitis C menjelang tahun 2030.

Dalam mewujudkan akses kepada rawatan bagi pesakit tempatan dan antarabangsa yang memerlukan, kami berkongsi wawasan ‘Memperteguh Daya Tahan’, sekali gus menggerakkan lagi industri pelancongan perubatan ke hadapan,” ujarnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mohd Daud Mohd Arif, insigHT2021 merupakan persidangan antarabangsa yang diadakan secara maya selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis.

“Bertemakan ‘Memperteguh Daya Tahan’, persidangan kali ini akan mengemukakan pandangan strategi pemulihan pascapandemik dan peluan daya tahan industri dengan topik seperti pengimejan semula sistem kesihatan, masa depan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, serta membina semula hospitaliti disampaikan pakar industri tempatan dan antarabangsa.

“InsigHT memainkan peranan penting sebagai satu platform bagi mencipta hasil yang ketara dan bernilai di mana ia akan memberikan manfaat kepada peserta industri dan pelancong kesihatan.

“Setelah melalui keperitan pandemik, usaha untuk mengoptimumkan platform seperti ini menjadi semakin penting pada hari ini bagi mencergaskan semula industri kita,” jelasnya.

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) Berhad, Imri Mokhtar, pihaknya amat teruja menjadi Rakan Kongsi Digital persidangan itu untuk kali ketiga berturut-turut.

“Ini selaras dengan komitmen TM untuk memperkasakan peserta industri penjagaan kesihatan melalui penyelesaian digital hujung ke hujung yang akan membolehkan mereka melangkah ke hadapan di tengah-tengah cabaran global.

“Perkhidmatan digital seperti penerapan pantas teleperubatan, kesihatan pintar dan infrastruktur digital adalah penting bagi melestarikan dan membangunkan industri pelancongan perubatan,” katanya.

Turut hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahah Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button