Uncategorized

Wajib buat ujian RTK Antigen setiap 2 minggu

Syarikat-syarikat wajib melaksanakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen seperti mana yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kaedah ujian kendiri atau di fasiliti kesihatan setiap dua minggu bagi pekerja yang hadir ke premis.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, langkah itu adalah tambahan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebagai langkah proaktif untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

MITI dalam kenyataan hari ini berkata, SOP semasa seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan lain-lain adalah masih terpakai dan wajib dilaksanakan syarikat.

“Kerajaan ingin mengingatkan kewajipan syarikat-syarikat untuk mematuhi SOP sepenuhnya dan ketidakpatuhan adalah satu kesalahan undang-undang yang boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun atau penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu,” jelas kementerian itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 11 aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran termasuk kedai gunting rambut, dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

MITI berkata, selain itu syarikat perlu membuat pengisytiharan kadar vaksinasi lengkap pekerja yang sebenar di Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) 3.0

Selepas pengisytiharan, syarikat boleh secara terus memuat turun surat kelulusan beroperasi yang baharu.

“Akses ke CIMS 3.0 untuk pengisytiharan ini adalah terhad kepada sektor pembuatan sahaja.

“Pengesahan mengenai kadar vaksinasi pekerja akan dibuat melalui semakan dengan pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Lawatan verifikasi secara berkala turut akan dilaksanakan oleh anggota penguat kuasa ke atas syarikat sektor pembuatan, tambah kementerian itu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button