Volvo umum kemas kini untuk model kereta Hibrid Plug-In 2024
VOLVO Car Malaysia akan memperkenal pengemaskinian dan perubahan dalam rangkaian kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEVs) baharu, iaitu Volvo XC90, XC60, S90, S60 dan V60 bagi tahun 2024. Pengemaskinian tersebut akan disertakan dalam model yang dikeluarkan mulai September, dan ia turut menampilkan warna baharu yang bergaya, Vapour Grey.
Selaras dengan aspirasi Volvo ke arah elektrifikasi, semua model elektrik hibrid plug-in Volvo 2024 akan dilengkapi dengan pengecas bersepadu (on-board charger, ataupun OBC) yang boleh menampung sehingga 6.4 kilowatt (kW) dengan pengecasan dua atau tiga fasa untuk tempoh pengecasan yang lebih pendek, ataupun kembali ke mod 3.6 kW bagi pengecasan fasa tunggal.* Naik taraf ini membolehkan pemilik menikmati perjalanan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan lebih lancar dengan tempoh pengecasan yang lebih kurang.
“Sejak pelancaran Volvo XC90 Recharge pada tahun 2016, iaitu kereta hibrid plug-in pertama yang pemasangannya dibuat di Malaysia, setiap kenderaan yang kami perkenalkan membolehkan kami mencapai matlamat untuk menjadi pembuat kenderaan elektrik premium yang terkemuka di ASEAN,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.
“Ciri-ciri yang dipertingkatkan untuk model Volvo 2024, terutamanya kelajuan pengecasan yang dipertingkatkan untuk rangkaian hibrid plug-in yang terkini, memperkasakan pemandu dalam penggunaan kuasa elektrik sepenuhnya sepanjang perjalanan harian mereka di samping memberi keyakinan untuk mengambil langkah ke arah masa depan yang digerakkan sepenuhnya oleh kuasa elektrik dengan Volvo.”
Antara ciri luaran yang dipertingkatkan bagi model Volvo 2024 adalah bumbung kaca panoramik yang dijadikan ciri standard bagi semua model. Sementara itu, Volvo S90 Recharge akan dilengkapi dengan reka bentuk roda lapan jejari baharu, manakala V60 Recharge dan S60 Recharge akan didatangkan dengan versi enam jejari yang baharu.
Ciri-ciri utama yang dikemas-kini bagi rangkaian model Volvo 2024 termasuklah:
- Pengecas bersepadu (OBC) 6.4 kW 2 fasa bagi semua model baharu PHEV.*
- Perkhidmatan Digital percuma selama lima tahun termasuk akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi kawalan jauh bagi aplikasi Volvo Cars untuk semua model baharu.
- Vapour Grey, pilihan warna baharu untuk semua model sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu Onyx Black, Crystal White, Denim Blue dan Platinum Grey.
- Bumbung kaca panoramik dijadikan ciri standard bagi semua model.
- Reka bentuk rim baharu untuk Volvo S90 Recharge, Volvo V60 Recharge dan Volvo S60 Recharge.
- Tambahan app YouTube kepada sistem infotainment Google built-in.**
Volvo XC90 Recharge kekal sebagai satu-satunya SUV PHEV tujuh tempat duduk yang boleh didapati di pasaran Malaysia, dengan suspensi udara aktif dan jarak elektrik tulen sehingga 77km untuk memboleh perjalanan harian yang bebas daripada emisi paip ekor tanpa penggunaan petrol.
Volvo XC60, SUV pemacu yang elegan namun lengkap dengan pemanduan dinamik, turut mempunyai pelbagai ciri mewah yang sama dengan Volvo XC90, seperti sistem audio fideliti tinggi Bowers & Wilkins dengan profil bunyi (“Room sound profiles”) yang tersendiri, pembersih udara, paparan head-up, pintu but bebas tangan, ciri hentian kecemasan and bantuan (emergency stop and Pilot assist) dan kamera pandangan 360°.
Kesemua model kereta 2024 mempunyai rangkaian ciri keselamatan Volvo yang ekstensif, seperti Cross Traffic Alert, Blind Spot Information System (BLIS), Lane Keeping Aid, dan Collision Avoidance & Mitigation dengan Steering Support and Braking.
Semua model baharu 2024 juga akan dilengkapi dengan app YouTube yang disertakan dalam sistem infotainment Google tersedia ada. App ini hanya boleh digunakan apabila kereta berada dalam keadaan tidak bergerak seperti semasa menjalankan pengecasan atau ketika berhenti rehat dalam perjalanan, dan pengguna boleh mendaftar masuk akaun peribadi untuk mengakses video yang dilanggan dan disyorkan.
Model-model Volvo terdahulu yang layak menggunakan sistem infotainment Google tersedia ada juga akan dapat menggunakan YouTube melalui pengemaskinian perisian secara over-the-air (OTA), yang kini turut membolehkan pengecasan berjadual menerusi app Volvo Cars.**
Model Volvo yang dikemas-kini akan berada di pasaran mulai September 2023. Pelanggan yang berminat boleh membuat janji temu untuk memandu uji model Volvo XC90, XC60, S90, S60 dan V60 2024 melalui laman web Volvo Car Malaysia di sini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.volvocars.com/my atau ikuti Volvo Car Malaysia di Facebook http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di http://bit.ly/VolvoMY-IG. – SM
* Pengecas on-board (OBC) merupakan pengecas 2 fasa atau 3 fasa 6.4 kW yang menukar voltan arus ulang-alik (AC) daripada Inlet Kenderaan Elektrik (EVI) kepada voltan arus terus (DC) yang tinggi untuk mengecas bateri bervoltan tinggi kenderaan ini. Dengan menyesuaikan kuasa pengecasan yang lebih tinggi menerusi pengecasan 2 atau 3 fasa, masa yang diambil untuk mengecas dapat dipendekkan berbanding pengecasan fasa tunggal:
- Kuasa dan tempoh pengecasan mungkin berbeza mengikut tahap voltan dan sama ada terdapat beban lain yang disambungkan kepada litar yang sama.
- Maksimum 6.4 kW dengan pengecasan dua fasa atau tiga fasa, ataupun 3.6 kW dengan pengecasan fasa tunggal. Arus pengecasan maksimum mungkin berbeza.
- Dalam keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk, arus yang digunakan untuk pengecasan akan turut digunakan untuk menyejukkan atau memanaskan bateri hibrid, yang boleh menyebabkan tempoh pengecasan menjadi lebih panjang. Sekiranya pemanas diaktifkan, ia juga akan menggunakan arus pengecasan tersebut.
** Perisian pelanggan Versi 2.11 akan mula tersedia untuk pelanggan dari September 2023. Umumnya perisian ini dikemas kini secara over-the-air (OTA). Pengemaskinian yang dibuat di pusat edaran Volvo yang berdaftar mungkin dikenakan bayaran kecuali sekiranya ia termasuk dalam perjanjian pembaikan atau servis. Pengemaskinian perisian kepada versi terkini akan turut melibatkan pengemaskinian yang terdahulu. Pengguna akan dimaklumkan menerusi paparan utama apabila perisian baharu telah tersedia secara over-the-air. Sila ke “Settings”, “System” dan “Software update” untuk melihat versi semasa perisian. Fungsi setelah pengemaskinian dibuat mungkin berbeza mengikut pasaran, model, tahun model dikeluarkan dan pilihan.
Kredit: EnjinDotCom
Artikel berkaitan > Program Volvo SELEKT teroka industri automotif negara