Volvo EM90 mulakan pengeluaran di kilang China, penghantaran pada Mac
KUMPULAN Geely China memulakan pengeluaran massa MPV pertama Volvo, EM90 yang berasaskan model Zeekr 009.
Secara asasnya, EM90 ialah MPV Zeekr 009 yang dilencanakan semula serta menerima kemaskini minor pada bahagian luaran dan kabin.
Bagaimanapun, MPV Zeekr menawarkan spesifikasi 4WD untuk 400kW pada harga mula CNY500,000 (RM335,919). Manakala, lencana Volvo pula menawarkan sebuah MPV dengan harga sedikit tinggi iaitu CNY818,000 (RM549,563).
Volvo EM90 akan memulakan penghantaran pada bulan Mac depan yang mana menggunakan platform SEA Geely yang turut ditemui pada model Polestar 4, Lotus Eletre, Jiyue 01, Smart #1, Smart #3, dan setiap model Zeekr.
MPV tersebut memiliki panjang 5,205mm, lebar (2,024mm) dan tinggi (1,859mm) dengan jarak roda 3,205mm. Kemudian bentangan kerusi dalam kabin adalah 2+2+2 dan dilengkapi dengan 21 pembesar suara dari jenama Bowers & Wilkins.
Manakala Zeekr 009 pula lebih panjang 4mm dan lebar (+3mm). Sementara lebar dan jarak roda adalah sama dengan EM90.
Volvo EM90 dijana oleh motor elektrik 200-kW pada gandar belakang bersama kuasa bateri 116-kWh. Di atas kertas, MPV tersebut mampu menawarkan perbatuan sejauh 738km.
Kemudahan Geely Hangzhou di China turut memasang Zeekr 009, Zeekr 001, Zeekr 001 FR, Jiyue 01 dan Polestar 4 di samping EM90. Kapasiti maksimum kilang tersebut mencapai 300,000 unit setahun.
Sama seperti Proton, warisan Sweden pada MPV tersebut turut dipersoalkan kerana dipasang di China di samping menggunakan model Zeekr sebagai asas.
Artikel berkaitan > Volvo umum kemas kini untuk model kereta Hibrid Plug-In 2024