Nasionalpilihan

UTeM gotong-royong masak nasi talam

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil pendekatan melaksanakan aktiviti gotong-royong memasak nasi talam sebagai juadah berbuka puasa kepada pelajar secara percuma.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, UTeM berbesar hati dapat menyediakan juadah makanan secara percuma kepada pelajar sepanjang bulan Ramadan ini.

Menurutnya, seramai 1,500 kakitangan UTeM mengikut giliran Pusat Tanggungjawab masing-masing serta dibantu sebahagian sukarelawan pelajar membantu menyediakan masakan tersebut setiap hari.

Kakitangan dan pelajar UTeM bergotong-royong mencuci ayam.

Katanya, penyediaan juadah berbuka puasa itu menggunakan dana yang diperolehi hasil daripada sumbangan dan kutipan dalam kalangan kakitangan UTeM serta pelbagai lapisan masyarakat.

“Dana ini turut disumbangkan menerusi peruntukan mengurus Pusat Islam UTeM, Tabung Kewangan Masjid Sayyidina Abu Bakar dan Tabung Amal Jariah UTeM yang berjumlah lebih daripada RM 130,000.00,” katanya di sini.

Massila berkata, sehingga kini program tersebut berjalan dengan jayanya dan seiringan dengan objektif untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang istimewa buat semua warga pelajar dan kakitangan UTeM.

Jelasnya, pada masa yang sama program tersebut juga dapat meneguhkan sikap bekerjasama dan kerja berpasukan yang lebih mantap antara satu sama lain secara konsisten.

Mengulas proses penyediaan dan hidangan juadah, Massila berkata, program itu dimulakan dengan aktiviti memproses dan menyediakan bahan mentah sebelum nasi talam dimasak secara bergotong-royong.

“Uniknya amalan atau konsep kami di UTeM ini adalah apabila makanan yang siap dimasak dihidangkan di dalam talam untuk dinikmati bersama-sama sewaktu berbuka puasa selepas itu disusuli solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button