UPSR Dimansuhkan : Tergolong Sebagai Sejarah Baharu Untuk Dikenang
Masih ingat pada zaman dahulu kala, kita sebagai pelajar sekolah rendah dimomokkan dengan amaran, “Jangan malukan sekolah dan wajib dapat 5A!”
Bagi sesiapa yang tak dapat 5A, mereka akan disusun mengikut kasta kelas hadapan dan kelas belakang sebaik sahaja memasuki tingkatan 1.
Keadaan ini juga berterusan dalam pelbagai lapisan pendidikan dalam negara apabila masyarakat kita ditanam dengan persepsi yang sehala.
Persepsi tersebut adalah kalau dapat nombor yang cantik atau markah yang tinggi kerana mampu menghafal teori, anda adalah manusia terpandai.
Padahal bakat yang ada pada setiap manusia adalah berbeza-beza dan apa yang sistem pendidikan negara lakukan? Meraikan golongan pandai menghafal.
Keadaan ini bertambah teruk lagi apabila golongan pandai menghafal yang diraikan dipanggil bekerja dalam sektor kerajaan yang kesannya adalah seperti hari ini.
Segelintirnya tiada pemikiran bisnes, hanya mengikut apa yang pihak atasan pinta dan menjadi askar kerajaan tanpa perlu memegang senjata dan kekal bergaji.
Golongan bijak pandai dengan bakat lain sering dianak tiri. Mereka yang kurang pandai menghafal diletakkan pada bahagian vokasional.
Malangnya bahagian ini sering disebut kelas belakang padahal kalau diikutkan realitinya, inilah golongan yang bakal menerajui bisnes Malaysia.
Jika mereka diberi peluang dan bakat itu diasah dengan lebih praktikal, tidak mustahil Ikea tidak perlu wujud pun dalam Malaysia kerana kita ada produk sendiri.
Tidak perlu pun beli barang dari China kerana Malaysia mampu hasilkan produk dari air tangan generasi belia rakyat negara sendiri.
Tetapi jika yang diangkat adalah golongan penghafal sahaja, ia kekal secara atas kertas. Sedangkan kalau nak bergerak pun kita kena berjalan.
Tetap wujud istilah praktikal yang membawa kepada pengalaman sebenar. Bukannya teori pemikiran semata-mata yang ada kalanya cuma fantasi.