Nasionalpilihan

UPSI tawar biasiswa, jawatan pensyarah kepada Azizulhasni Awang

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan biasiswa dan jawatan pensyarah di Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan kepada atlet basikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Tawaran itu diberikan susulan pencapaian membanggakan negara oleh Azizulhasni di Sukan Olimpik 2021 yang sedang berlangsung di Tokyo, Japan.

Difahamkan, tawaran itu juga membolehkan beliau melanjutkan pengajian secara Accreditation of Prior Experiental Experiental Learning (APEL)  iaitu laluan pengalaman secara berterusan yang membawa kepada penganugerahan sijil kelayakan formal tertinggi sekali gus memberi peluang yang lebih cerah dalam perkembangan kerjaya individu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata, kecemerlangan adalah suatu yang dinamik dan unik serta harus diukur secara holistik.

Sehubungan itu, katanya, pencapaian Azizulhasni yang konsisten dalam Sukan Olimpik, semangat juang serta prinsip “DEMI MALAYSIA” beliau adalah terlalu bermutu dan harus diraikan dalam semangat kecemerlangan pendidikan yang berteraskan realiti keinsanan.

“Kerana itulah, Azizulhasni perlu diangkat menjadi role model dalam melahirkan lebih ramai atlet dan rakyat Malaysia yang sentiasa bersemangat positif seperti beliau.

“UPSI menawarkan peluang melanjutkan pengajian dan perjawatan pensyarah ini kepada Azizulhasni pada bila-bila masa sahaja sama ada selepas Olimpik Tokyo mahupun Olimpik Paris 2024.

“Tawaran ini adalah sebagai tanda penghormatan terhadap kecemerlangan luar biasa Azizul yang sentiasa menjadi aspirasi dan motivasi kepada lebih 32 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran Azizulhasni ke UPSI pastinya dapat membantu negara dalam memantapkan pembangunan sukan basikal trek  dan menjadi inspirasi kepada mahasiswa yang bakal menjadi guru dan jurulatih sukan di sekolah-sekolah di Malaysia mahupun antarabangsa.

Jelasnya, selain memiliki Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), UPSI memiliki kemudahan sukan berteknologi tinggi dan bertaraf antarabangsa melalui pembinaan UPSI Sports City.

“UPSI Sports City mempunyai tiga  kolam renang, kompleks bowling, lapang sasar golf, akademi memanah, gimnasium yang mempunyai  tiga court futsal tertutup, marina, UPSI Adventure Park serta hotel empat bintang, Scholar’s Suites,” katanya.

Tambahnya, UPSI berhasrat menjadi fakulti peneraju sains sukan di Malaysia dan  antarabangsa berikutan dianggotai oleh Mon Redee (pemanah Olimpik negara),  Hazuan Hizan (pemain tenis negara yang kini berpangkalan di Australia), Md Amin Md Taff, Jaffry Zakaria dan Benderi Dasril (atlit kayak negara), Faeez Alias (atlet ragbi negara), Datin Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak (atlet pencak silat negara), Nelfianty Mohd Rashid (atlet hoki negara) serta Firdaus (atlit petanque negara) selain memiliki 12 makmal utama dalam  bidang Sains Sukan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button