UPSI kongsi modul pemulihan dalam komuniti bersama petugas JKM
PUSAT Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Bengkel Penataran Modul PPDK yang memberi fokus kepada perkongsian pintar modul latihan yang dibangunkan oleh kepakaran UPSI kepada petugas-petugas PPDK.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI bergerak pantas bagi memastikan pendidikan dan latihan menjadi satu fokus utama demi memastikan komuniti kurang upaya sedia ada dibekalkan dengan ilmu kemahiran ke arah kerjaya sebenar dan mampu bersaing bersama-sama dengan komuniti perdana.
“Kepakaran sedia ada UPSI mampu memberi nilai tambah dalam sistem sokongan latihan pendidikan supaya petugas dan pelatih PPDK dapat menikmati latihan pemulihan semaksima mungkin, “ katanya.
Penyelaras Projek Modul PPDK Bitara UPSI,Dr Kama Shaffeei berkata bengkel yang berlangsung pada 14 hingga 16 Jun lalu di Scholar Suites UPSI adalah untuk peserta bagi Zon Perak manakala dari 21 hingga 24 Jun 2023 bagi Zon Selangor diadakan di Gocos Hotel, Klang.
Bengkel yang dihadiri seramai 40 setiap zon, katanya, diwakili oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak dan Selangor, penyelia PPDK dan petugas-petugas PPDK di kedua- dua negeri.
Katanya, penekanan kandungan modul latihan berteraskan keperluan pemulihan dan latihan pelatih PPDK yang terdiri daripada pelbagai kategori ketudakupayaan seperti ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan penglihatan dan ketidakupayaan pelbagai.
Beliau berkata penganjuran bengkel itu juga selari dengan hasrat pihak JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar petugas-petugas mempunyai pengetahuan, kemahiran dan mengaplikasikannya kepada pelatih di PPDK sedia ada.
UPSI, katanya, menekankan fungsi slogan ‘UPSI Penerajui Kebitaraan Pendidikan’ di Malaysia sentiasa peka dengan keperluan aspek pengetahuan dan kemahiran semua agensi khususnya dalam peningkatan profesionalisme individu dalam bidang kerjaya masing-masing.
Katanya, penganjuran bengkel penataran modul latihan ini membantu meningkatkan profesionalisme petugas PPDK di Malaysia dengan perkongsian kepakaran pensyarah UPSI, fasilitator di kalangan guru, petugas PPDK sendiri dan pihak industri dalam pelaksanaan pembangunan modul PPDK ini di PPDK pada masa depan kelak.
“Peranan PPDK Bitara UPSI sebagai salah satu pusat latihan komuniti dalam menyediakan platform latihan dan perkongsian kepakaran pendidikan serta menjadi salah satu penyumbang kepada pemodenan sistem pendidikan dan latihan masa depan, “ jelasnya.
Menurut beliau suntikan dana dalam penubuhan PPDK Bitara UPSI oleh pihak kerajaan membuahkan hasil dengan tercetusnya modul-modul latihan yang mengandungi inovasi pendekatan secara digital, latihan hands- on dan persijilan micro credentials dalam latihan kemahiran vokasional yang disediakan oleh pihak UPSI. -SM
Baca juga : Kanada bakal bekerjasama dengan Asean laksanakan AOIP