Pendidikan

UPSI bantu guru Malaysia mahir AI dalam pendidikan

Tanjung Malim – Pasukan Kepakaran AI Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Dr Kama Shaffeei bersama rakan Profesor Madya Dr Mohd Hafizul Fahri Hanafi, Dr Ahmad Wiraputra Selamat dan Dr Ahmad Uzair Mazlan berjaya berkongsi ilmu melaksanakan kursus Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) atau AI kepada 70 guru Malaysia.

Menurut Dr Kama yang juga Guru Besar Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) UPSI peserta kursus terdiri daripada guru-guru yang menjadi ahli Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan kakitangan induk KGMMB.
Katanya, program tersebut menyaksikan pembabitan guru-guru bersedia secara fizikal dan mental bagi menjalani kemahiran AI Pendidikan yang julung kali diadakan oleh KGMMB dengan anjuran bersama UPSI.
Beliau berkata aktiviti ‘hands on’ guru-guru dalam latihan AI ditekankan dalam kursus ini supaya mereka memperolehi kemahiran dalam penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH), Pembangunan persembahan Powerpoint dan sokongan AI dalam pengajaran di sekolah kelak.
“Objektif kursus AI ini adalah memberi pengetahuan dan Kemahiran AI dalam beberapa alat sokongan seperti ChatGPT, Copilot, Slidesgo, Quizetgo, Mistrail.ai dan sebagainya, malah kesemua alat sokongan AI ini membantu dalam pengajaran dan pemudahcaraan guru,” katanya.
Di samping itu, katanya, KGMMB berharap peserta kursus dapat mempertingkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan AI Pedagogi Pendidikan.
“Kursus ini juga memberi pendedahan dan bimbingan kepada ahli KGMMB supaya memperoleh kemahiran berfikir dan kaedah alternatif dalam pelaksanaan pengajaran dan latihan yang terbaik.
Ia juga diharapkan dapat membantu ke arah menjayakan proses anjakan paradigma ahli KGMMB terhadap peranan dan tanggungjawab dalam menguasai ilmu dan kemahiran selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Kursus yang berlangsung di Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI itu, katanya, memberi peluang pengetahuan dan kemahiran AI dalam pendidikan digital masa depan seiring dengan hasrat kerajaan memastikan guru-guru mempunyai asas kemahiran dan komunikasi digital dalam pendidikan era digital.
Presiden KGMMB, Johari Mohamad berharap agar guru-guru dapat melaksanakan kemahiran AI yang diajar dan mengaplikasikannya dalam bilik darjah serta mampu memberi sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran.
UPSI, katanya, sentiasa bersedia dengan kepakaran sedia ada dalam memastikan kemahiran digital dikuasai dan mampu memberi peluang dan ruang guru dalam pelaksanaan proses pengajaran di sekolah yang selari dengan UPSI sebagai Penerajui Kebitaraan Pendidikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button