UniSZA tubuh Pusat Kajian Penyakit Berjangkit
UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menubuhkan Pusat Kajian Penyakit Berjangkit di bawah Fakulti Perubatan dalam masa terdekat.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penubuhan itu akan memberi manfaat besar kepada negara dan komuniti setempat untuk pencegahan penularan penyakit berjangkit termasuk Covid-19.
“Unit kepakaran di Hospital Pengajar UniSZA telah merancang penubuhan pusat kajian ini dan satu kertas cadangan berserta keperluan seperti makmal dan kemudahan kajian yang lain akan dibentangkan dalam masa terdekat.
“Kertas cadangan ini perlu diperhalusi dengan lebih terperinci termasuk aspek peruntukan yang diperlukan untuk menjalankan kajian itu nanti,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan pusat kajian itu adalah susulan kejayaan UniSZA dalam memperkenalkan Aplikasi Penilaian Risiko Covid-19 dan Pengawasan Kesihatan Kendiri (CHaSe) baru-baru ini.
Aplikasi CHaSe telah berjaya menghasilkan tujuh artikel yang diterbitkan antaranya mengenai simptom Covid-19 dan juga trend yang ada dalam penularan di peringkat komuniti tempatan, katanya.
Hasil artikel itu dapat dimanfaatkan mereka yang terlibat dalam bidang perubatan juga sebagai pengetahuan kepada masyarakat untuk bersama kerajaan mencegah penularan wabak pandemik ini, ujar beliau.
Katanya lagi, kita tahu penyakit berjangkit ini tidak akan berhenti di sini dan akan ada lagi kes-kes baru pada masa depan.
“Kita bergerak ke arah itu dan di situlah bermulanya idea penubuhan pusat kajian ini,” katanya. – SM