Undi 18 akan dilaksanakan dalam masa terdekat
KERAJAAN akan melaksanakan umur kelayaan pengundi bermula 18 tahun dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam.
Menurutnya, Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur kelayaan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.
“Hal ini telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April 2021 dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu yang berkaitan dan perkara teknikal termasuk memperkemaskini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau, melalui ketetapan yang dibuat itu membuktikan Kerajaan amat beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dam dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri.
Kerajaan yakin SPR bersedia untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini.
Pada 16 Julai 2019 barisan ahli Parlimen Kerajaan dan blok pembangkang mencipta sejarah apabila memberi sokongan majoriti lebih dua pertiga bagi meluluskan Rang Undang-undang (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat, hari ini.
Seramai 211 ahli menyokong, melebihi jumlah yang diperlukan iaitu 148 orang.
RUU itu, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada bacaan kali kedua awal hari ini, bercadang meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.
Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Selain itu, RUU itu juga mengandungi cadangan untuk pendaftaran warganegara secara automatik sejurus mereka mencapai umur 18 tahun.-SM