UMNO yang mesyuarat, Bersatu pula yang resah
Tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman meminta agar UMNO mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang diadakan pada Jumaat lalu disambut dengan sinis oleh UMNO.
Menurut Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan, mengapa Bersatu perlu resah dengan mesyuarat yang diadakan oleh UMNO.
Tindakannya itu seolah-olah mengambarkan Muhammad Faiz mempunyai tugasan khus dari partinya untuk menyerang UMNO.
“Saya perhati seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebuah parti ini seolah-olah ada “assignment” untuk mempersoal dan menyerang UMNO secara terbuka.
“Sudah beberapa kenyataan mutakhir dia yang tak henti-henti menyentuh UMNO. Tidak nampak pula kenyataan tentang partinya sendiri,” kata Shahril Sufian.
Beliau menegaskan UMNO akan membuat pengumuman sebarang perkara atau keputusan mengikut keselesaan parti itu sendiri.
Tambahnya sebarang kenyataan rasmi mengenai keputusan berkaitan dasar UMNO akan datang daripada presiden atau setiausaha agung UMNO.
“Gesaan terbuka melalui media untuk UMNO mendedahkan perihal dalaman parti hanya membongkar kelemahan pihak yang menggesa tersebut,” kata Shahril Sufian.
Sebuah portal semalam melaporkan Dr Muhammad berkata, isi mesyuarat UMNO penting untuk Bersatu merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Sebenarnya adalah lebih baik jika tidak ada pertembungan tiga penjuru jika UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan formula seperti di Sabah.
“Barisan Nasional (BN) bersama PN kita tidak bertembung. Jadi kita boleh buat kempen bersama dan menang besar,” katanya ketika dihubungi portal berita itu semalam.
Beberapa media membuat spekulasi kononnya dalam mesyuarat itu pucuk pimpinan UMNO memutuskan untuk berpisah daripada Bersatu dan gabungan PN pada pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO pada Ahad menafikan dakwaan yang mengatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Selain itu Muhammad Faiz turut membuat komen berkaitan khabar angin kononnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggunakan kuasa vetonya selaku Presiden UMNO untuk menghalang Barisan Nasional (BN) daripada bergabung dengan PN.
“Itu sebenarnya asas kepada mana-mana parti politik. Majoriti itu asas. Jadi kalau disebabkan hanya seorang yang tidak mahu maka dikatakan orang itu ada kuasa veto jadi sebenarnya rakyat boleh menilai jenis kepimpinan UMNO di bawah Zahid Hamidi.
“Sedangkan majoriti pemimpin mereka di peringkat atas mahukan kerjasama demi perpaduan Melayu dan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, jika benar UMNO mengambil keputusan berdasarkan seorang individu yang menggunakan kuasa vetonya sebagai presiden, adalah malang nasib majoriti akar umbi dan pemimpin parti itu yang lebih rasional dan sayangkan perpaduan ummah serta kelangsungan kerajaan yang telah dibina bersama.-SM