UMNO tidak akan dapat bentuk kerajaan bersama Anwar
TUN Dr. Mahathir Mohamad yakin UMNO tidak akan dapat membentuk kerajaan jika bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahathir memberitahu UMNO akan berdepan dengan krisis kerana ada yang tidak akan mengikuti pakatan baharu itu dan akhirnya menghadapi risiko jatuh sekali lagi.
“Jika berbuat demikian ia boleh merisikokan UMNO sendiri untuk jatuh sekali.
“UMNO berkemungkinan akan fikir boleh membentuk kerajaan baru bersama Anwar jika mengambil tindakan keluar daripada Perikatan Nasional (PN).
“Bukan sahaja PN jatuh, UMNO pun jatuh juga,” katanya ketika ditanya pengumuman UMNO sebelum ini bahawa parti itu mempertimbang untuk tarik diri daripada menyokong PN.
Persoalan itu dibangkitkan dalam wawancara beliau bersama wartawan Utusan Malaysia berhubung isu politik semasa.
Tambahnya, pakatan antara Anwar dan UMNO tidak akan kekal lama jika ada pihak yang menarik diri.
“Apabila ada pakatan antara Anwar dan UMNO ini, ada orang yang akan tarik diri, jadi tak capai majoriti juga.
“Mungkin ada deal (perjanjian) kalau saya (Anwar) jadi Perdana Menteri, saya bagi kamu jadi Menteri dan sebagainya,” katanya lagi.
Bekas perdana menteri itu berkata dia tidak percaya Presiden PKR itu mempunyai sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan baru.
“Dari awal lagi bila Anwar buat dakwaan kononnya dapat sokongan kukuh, saya tak percaya.
“Dahulu pun dia buat macam tu dah.
“Namun apabila Yang di-Pertuan Agong minta supaya masing-masing menyatakan siapa nak pilih perdana menteri, dia kata dapat sokongan majoriti, tapi tidak ada pun.
“Sekarang ini pun tak pernah juga (ada bukti sokongan),” kata Mahathir yang ketika memimpin kerajaan berjanji menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Pada 23 September lalu, Anwar mengumumkan dia mempunyai sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan pusat.
Susulan itu, pada 13 Oktober, ketua pembangkang menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan dokumen sahih yang membuktikan sokongan ahli parlimen kepadanya.
Bagaimanapun, istana dalam satu kenyataan berkata Anwar tidak memberi senarai nama ahli parlimen yang menyokongnya.
“Sekarang ini Anwar mungkin nak tengok ada orang nak sokong dia atau tidak.
“Beliau hanya mengulangi dakwaan yang pernah dibuat dahulu tetapi langsung tidak mengemukakan sebarang bukti yang menyokong dakwaannya,” kata Mahathir.