MKT UMNO putuskan terus perkasa Muafakat Nasional bersama Pas
MAJLIS Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang hari ini membuat ketetapan untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional bersama dengan parti Pas.
Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa berkata, UMNO akan mempertingkatkan gerak kerja bersama Pas.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO bersetuju untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional dengan mempertingkatkan gerak kerjanya bersama Pas terutama dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinan,” kata Anuar sejurus mesyuarat MKT UMNO selesai.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan serta tiga Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta pengerusi UMNO negeri-negeri selesai.
BACA JUGA: Pungutan suara tolak BN, Pas bersama Tun M
Anuar berkata, Ahmad Zahid telah memberi penjelasan terkini kepada MKT Umno berhubung situasi semasa.
Presiden UMNO itu telah memberikan pelbagai scenario yang berkemungkinan berlaku. Senario-senario tersebut telah dinilai secara bersama dengan Pas dalam semangat Muafakat Nasional.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan Majlis Kerja Tertinggi telah memberikan pandangan secara terbuka untuk perhatiandan tindakan Presiden UMNO,” kata Anuar.
Sebelum ini heboh diperkatakan isu kerjasama UMNO dan Pas dalam satu pakatan baharu dengan parti kerajaan perkara tersebut akan diputusan dalam mesyuarat MKT UMNO hari ini.
Isu pembentukan pakatan baharu timbul selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam mendakwa, Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk satu pakatan baharu’.
Lokman Adam menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, mendakwa Ahmad Zahid membuat kenyataan demikian ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, baru-baru ini.-SM