Politik

Demokrasi Malaysia tidak boleh dikalahkan oleh pandemik

UMNO akan menyokong segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam sebarang tindakan yang diambil untuk membasmi pandemik Covid-19.

Timbalan Pesiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan UMNO sama sekali tidak akan bertolak ansur dalam sokongan yang diberikan kepada Kerajaan dalam memastikan penularan Covid-19 dapat dihalang.

Justeru tegas beliau, UMNO akur pelaksanaan darurat di negara ini hanya digunakan bagi memastikan virus Covid-19 terkawal.

Namun menurut Mohamad, dalam pelaksanaan darurat menggantung Perlembagaan tidak akan membantu memulihkan pandemik Covid-19.

“Alangkah baik jika Kerajaan mengisytiharkan “the state of Health Emergency” dan memperkenalkan ordinan spesifik bagi tujuan tersebut.

“Hanya memperbaiki strategi kesihatan, mempertingkatkan kawalan penyakit seperti pendekatan MCO dan menyegerakan immunisasi akan memulihkan Malaysia dari wabak ini.

“Menggantung Perlembagaan sama ada secara separa atau sepenuhnya tidak akan membantu memulihkan pandemik ini,” kata Mohamad.

Ketika ini menurut beliau, Malaysia berada dalam kedudukan yang belum pernah terjadi dalam sejarah penubuhannya dengan pandemik yang semakin menular, ekonomi merudum, negara diisytiharkan darurat, Perlembagaan digantung dan Parlimen tidak berfungsi.

Beliau menegaskan,  UMNO akan berusaha sedaya upaya untuk memulihkan semula demokrasi dan mengembalikan semula fungsi Perlembagaan.

Tegas beliau, sistem demokrasi yang menjadi amalan di Malaysia tidak seharusnya ditewaskan oleh sebarang wabak penyakit atau apa sahaja cabaran lain.

“Malaysia adalah demokrasi yang berjaya. Malah ia adalah teladan negara demokratik yang terbaik di kalangan negara Islam.

“Demokrasi Malaysia tidak boleh dikalahkan oleh pandemik atau apa jua cabaran yang melanda negara ini. Dan ia akan terus menjadi negara hukum dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan pedomannya,” kata Mohamad.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam Perisytiharan Darurat memaklumkan Pilihan raya umum tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021.

Ini termasuk pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, bagi tujuan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, menurutnya, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang akan ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button