
UMAM giat perkukuh pengurusan universiti
ARAU 21 Feb. – Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis kini giat memperkukuh pengurusan universiti melalui perancangan yang teliti, berfokuskan strategi jangka panjang demi memenuhi keperluan pelajar, pensyarah, dan pihak pentadbiran. Usaha ini selaras dengan aspirasi universiti untuk mencapai kecemerlangan akademik serta pengurusan yang efisien dan berdaya saing.
Dalam usaha memperkasa jaringan akademik, UMAM bersedia menjalin kerjasama strategik dengan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri Perlis ini seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UNISIRAJ), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Institut Pendidikan Guru (IPGM) Perlis. Kolaborasi ini bertujuan melahirkan graduan berkualiti, memperkukuh penyelidikan serta inovasi, sekali gus meningkatkan imej dan kedudukan UMAM di persada pendidikan tinggi.
Perkara ini dipersembah maklumkan oleh Naib Canselor UMAM yang baru, Dr. H. Saidul Amin, kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap hormat pengenalan yang berlangsung di Galeri Diraja Arau.
Turut hadir, Dekan Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Pengajian Islam (FESSIS) UMAM, Prof. Dr. Noor Azlan Ahmad Zanzali.
Dr. Saidul Amin yang dilahirkan di Permatang Siantar pada 26 Mac 1970 yang juga pada ketika ini masih memegang jawatan sebagai Rejtor di Universitas Muhammadiyah Riau baru-baru ini dilantik sebagai Naib Canselor UMAM, menggantikan Prof. Ir. Dr. Waluyo Adi Siswanto yang telah menamatkan perkhidmatan dan kini bertugas sebagai Profesor di Universitas Muhammadiyah Surakarta, Jawa Tengah dalam program Studi Teknik Mesin – Program Doktor (S3).
Dalam majlis mengadap tersebut, Dr. Saidul Amin yang merupakan alumni pasca siswazah dan Doktor Falsafah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Universiti Malaya (UM) turut menyatakan harapan agar hubungan erat antara UMAM dengan jabatan serta agensi di peringkat negeri dan Persekutuan khususnya Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus diperkukuh. Hubungan ini penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan setiap program yang dirancang, seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan negeri.
Sebagai rekod, UMAM yang terletak di Padang Besar, Perlis buat masa ini menawarkan pelbagai program pengajian termasuk kursus, mikro-kredensial, dan program PhD dalam bidang perniagaan dan pengurusan, pendidikan, sains dan teknologi, sains sosial, serta pengajian Islam.
FOTO