Nasional

UEC akibatkan sistem pendidikan lemah longlai

ANALISIS

KITA maklum mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan menjadi isu besar nasional yang berupaya merosakkan dasar pendidikan tinggi negara.

Isu UEC ini jika tidak dinilai dan diolah secara bersepadu, rakyat dan negara akan terus terbelah dan berpecah melalui dasar dan arus pendidikan nasional.

Nadi kebangsaan kita akan terhenti. Nadi majmuk tanpa hala akan muncul menodai sistem pendidikan kita yang kini pun sudah semacam cacamarba dan tak tentu hala.

Yang terpenting, keadilan dari segi justifikasi pengiktirafan UEC di saat-saat genting ini harus ditimbangtara.

Pedulikan desakan pihak tertentu, waima parti dalam kerajaan sekali pun yang sewenang-wenang mahu UEC diiktiraf tanpa mengambil kira impak kaum majoriti.

Bagi mereka yang hendak memasuki institusi pengajian tinggi ditetapkan lima perolehan subjek cemerlang. Mereka yang lulus UEC, di luar sistem, hanya perlu peroleh dua mata pelajaran cemerlang termasuk bahasa Melayu.

Bagaimana halnya dengan ratus ribuan anak-anak Malaysia kita yang sudah melengkapkan diri dengan perolehan 5 kredit mata pelajaran selama ini?

Tiba-tiba sekian puluh-ribuan pemegang UEC dengan kredit bahasa Melayu dan satu lagi subjek lain tiba-tiba boleh memasuki institusi pengajian tinggi tanah air?

Yang akan terjadi ialah anak-anak Malaysia yang mengikuti arus perdana sama tarafnya dengan mereka yang baru mula muncul dengan dua kredit yang baharu? Adilkah?

Asas-asas pendidikan yang menzahirkan sijil UEC berbeza dan berlainan daripada pendidikan serta arus perdana yang dikendalikan oleh pendidikan nasional.

Menyamaratakan dua sistem ini mesti dilakukan terlebih dahulu. Jika tidak, murid-murid dari arus perdana lepas ini akan mengalami kesukaran lantaran disaingi ‘pendatang baharu’ yang menggenggam UEC.

Lama-lama sistem kebangsaan akan jadi ibarat tali gasing: tebal di pangkal, jirus dihujung. Lama kelamaan anak Malaysia akan lebih ramai berduyun-duyun masuk arus UEC. Arus perdana atau sistem pendidikan nasional akan jadi lemah-longlai tanpa tulang belakang.

Pendidikan arus perdana mesti dikukuhkan. Guru-guru hebat mesti dilengkapkan dengan insentif yang menggalakkan.

Sistem luaran seperti UEC wajib melalui proses sulingan terlebih dahulu.

Bukan hanya sebab UEC diiktiraf melalui pengajian undang-undang oleh Peguam Negara dengan`disambut gembira’ oleh Timbalan Menteri Pendidikan tempoh hari.

Dalam konteks ini, Suara Merdeka menyeru dan memmohon Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya bertindak tegas dan buat kajian terperinci dahulu tentang UEC.

Perkasakan pendidikan kebangsaan dahulu dengan kecemerlangan dan budaya tinggi.

Dengan simpang-perenangnya sistem persijilan begini, rakyat akan terus terbelah dan terbahagi. Bila rosak dasar dan sistem pendidikan akan rosaklah rakyat dan negara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button