Nasional

Dunia kalut coronavirus, DAP sibuk ‘iktiraf’ UEC

DAP jangan memberi tekanan kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)

Dari cara cakap Timbalan Ketua Setiausaha DAP Nga Kor Ming bahawa DAP akan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) jika UEC tidak diiktiraf berupa suatu ugutan pula. Bukan begitu kalau dibaca sesiapa pun?

DAP harus ingat, parti itu mustahil untuk menang pilihan raya umum lepas hanya dengan isu UEC. Banyak faktor utama lain terutamanya isu penyelewengan dan rasuah yang memenangkan PH.

Jika isu UEC yang ditebarkan jalanya tempoh hari (PRU-14), Suara Merdeka tak fikir DAP dan anggota gabungannya PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berupaya menumbangkan BN.

Faktor utama kemenangan, selain isu penyelewengan yang dilaung-laungkan adalah ketrampilan Dr Mahathir itu sendiri yang mengetuai PH, sekali gus memberi keyakinan baharu kepada rakyat.

Kerana itu DAP harus berpijak di bumi nyata. Mengapa tiba-tiba pula dicanangkan ‘isu tidak iktiraf UEC, DAP mahu keluar PH’ ketika seluruh dunia termasuk Malaysia kalut dengan kisah wabak coronavirus.

Cuba DAP bagi panduan kepada kerajaan dan rakyat bagaimana mahu redakan kekalutan akibat penangan wabak ini kalau-kalau hinggap ke Malaysia.

DAP dan masyarakat Cina khususnya harus akur bahawa hanya kerajaan yang boleh memberikan pengiktirafan kepada UEC atau sebaliknya.

Kementerian Pendidikan sendiri masih menjalankan kajian.

Oleh itu tidak wajar sama sekali DAP mendesak diisytiharkan pengiktirafan UEC.

Daripada hujah dan alasan konkrit, banyak pihak dari kalangan ilmuan, pejuang bahasa dan pendidikan kebangsaan tidak dapat menerima pengiktirafan UEC.

Pertama, UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh badan persendirian yang tidak jelas kurikulumnya, latihan gurunya, kaedah pengajarannya serta mutu peperiksaannya.

Kedua, pengiktirafan UEC akan mewujudkan sijil substandard di negara ini yang mencacatkan mutu penaksiran dan penilaian dan mutu pendidikan negara yang dikendalikan oleh badan berwibawa iaitu Lembaga Peperiksaan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Ketiga, UEC dikendalikan oleh badan yang sejarah awalnya berkiblat ke Taiwan dan hingga kini tidak jelas adakah sistem, kurikulum, latihan guru dan buku teks selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia.

Keempat, pengiktirafan UEC mewujudkan persaingan tidak wajar dalam peluang pengajian tinggi dan pekerjaan, kepada lepasan sekolah menengah kebangsaan yang menurut acuan kenegaraan dalam hal kurikulum, latihan guru, buku teks, peperiksaan dan yang lain. – SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button