Ubat Covid-19 ditemui di UK, mampu selamatkan nyawa pesakit kritikal
PAKAR perubatan Britain mengesahkan ubat Dexamethasone mampu menyelamatkan satu pertiga daripada pesakit yang kritikal akibat serangan virus maut korona.
Seorang saintis Universiti Oxford Profesor Peter Horby yang mengetuai kajian pengunaan ubat itu di Britain, pada taklimat Downing Street hari menyatakan bahawa, ubat itu dapat menyelamatkan nyawa dengan kos hanya £40 atau sekitar RM200 secara keseluruhan.
Dexamethasone merupakan ubat steroid yang murah dan digunakan selama beberapa dekad telah menjadi ubat pertama yang terbukti dapat mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit di hospital.
Ubat tersebut dapat menyelamatkan hingga 35 peratus pesakit kritikal yang bergantung pada bantuan alat pernafasan dan mengurangkan kemungkinan kematian sebanyak satu perlima bagi semua pesakit yang memerlukan oksigen.
Perdana Menteri Britain Boris Johnson memuji kejayaaan pasukan penyelidik yang menemui penawar penyakit Covid-19.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan terbesar yang telah dibuat oleh pasukan saintis hebat di UK. Saya rasa ada sebab yang tulen untuk meraikan pencapaian ilmiah Britain yang luar biasa dan faedah yang akan diperolehnya bukan hanya di negara ini tetapi di seluruh dunia,” kata Boris hari ini.
Ketua Pegawai Perubatan England Profesor Chris Whitty berkata, keputusan itu merupakan percubaan terpenting setakat ini, sementara Ketua Penasihat Ilmiah Sir Patrick Vallance mengatakan ubat tersebut boleh digunakan dengan segera di seluruh dunia.
Menurut Setiausaha Kesihatan Matt Hancock, penemuan itu ‘mengejutkan’ dan akan membantu menyelamatkan ribuan nyawa.
Dexamethasone dicipta pada tahun 1950-an. Ubat itu diberikan untuk merawat kolitis ulseratif, arthritis dan beberapa jenis barah.
Ia sudah dilesenkan dan terbukti selamat buat manusia untuk digunakan dengan segera. Dexamethasone merupakan ubat generik, yang bermaksud ia dapat dibuat dengan murah dan secara besar-besaran oleh syarikat di seluruh dunia.
Hasil percubaan yang melibatkan 6.000 pesakit Covid-19 dan diketuai oleh saintis Universiti Oxford menunjukkan bahawa steroid itu dapat mencegah kematian satu dari lapan pesakit coronavirus berventilasi dan satu dari 25 pesakit yang memerlulakn alat bangtuan pernafasan.
Ia adalah percubaan pertama yang menunjukkan rawatan Covid-19 memberi kesan yang besar dalam mengurangkan risiko kematian.
Ubat itu yang diberikan sebagai suntikan atau tablet sekali sehari bagaimanapun tidak memberi manfaat kepada pesakit yang tidak memerlukan bantuan oksigen.- SM