
Tutup SPRM kalau jadi ‘Pak Turut’ – Azam Baki
Ketua pesuruhjaya agensi antirasuah negara hari ini membidas pihak pengkritik kerana dilihat cuba menentukan hala tuju siasatan mereka dalam kes-kes berprofil tinggi.
Menurut Azam Baki pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat akan menentukan sendiri siapa yang perlu dipanggil untuk membantu sesuatu siasatan berdasarkan dapatan mereka, bukannya berdasarkan persepsi orang ramai.
“Kalau nak kena ikut semua yang orang cakap dalam media sosial, baik tak payah ada SPRM ni, lebih baik tutup saja.
“Kamu siapa nak suruh-suruh kami panggil siapa orang yang perlu disiasat dan sebagainya?“Mengapa kita perlu dengar cakap orang yang tak tahu hujung pangkal siasatan SPRM,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Tambah Azam, dia tidak boleh mendedahkan dapatan dalam siasatan SPRM tetapi ada sesetengah pihak yang suka membuat kesimpulan sendiri tanpa mengetahui kedudukan sesuatu kes.
Katanya siapa yang akan dipanggil untuk memberi keterangan bergantung kepada keperluan siasatan dan tidak mengambil kira sama ada orang itu ahli politik atau sesiapa saja.
“Tak kiralah dia tu Teresa Kok atau siapa, SPRM siasat berdasarkan undang-undang,” katanya lagi.
Baru-baru ini muncul pihak tertentu yang mendesak SPRM memanggil Kok untuk diambil keterangan dalam siasatan agensi terbabit terhadap bekas pembantu politik Ahli Parlimen Seputeh berkenaan.
Awal bulan ini, SPRM menahan dua bekas kakitangan Kok yang menguruskan hal-hal kewangan serta dana pusat khidmatnya sebelum meletak jawatan tahun lalu.
Mereka direman sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam pembekalan papan pintar interaktif untuk beberapa sekolah di Kuala Lumpur.
Kok sejak itu menjarakkan dirinya daripada kes itu dan menegaskan dia tidak ada kaitan dengan penahanan SPRM.
Berikutan itu, beberapa pihak menimbulkan persoalan mengapa SPRM tidak menyiasat pemimpin DAP terbabit bersama bekas pegawainya.
Antara yang membuat desakan itu termasuklah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali yang percaya Kok telah melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM apabila gagal melaporkan bekas pegawainya kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Azam berkata, bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, akan dipanggil semula untuk memberi keterangan selepas sambutan Aidilfitri minggu depan.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah berkali-kali hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan terhadap dakwaan rasuah dikaitkan dengan projek Keluarga Malaysia.
Menurut Azam, SPRM telah meminta Ismail Sabri untuk memberikan beberapa dokumen yang diperlukan penyiasat untuk kes tersebut.
“Kami sedang tunggu dokumen berkaitan datang pada kami dan selepas itu kami akan panggil beliau semula
“Dia dijangka menyerahkan dokumen berkenaan secepat mungkin selepas Hari Raya,” katanya.
Bagaimanapun dia enggan mendedahkan lebih lanjut apabila diminta menjelaskan butiran dokumen yang sedang ditunggu SPRM daripada Ismail Sabri.
Azam juga memberitahu Malaysiakini, Ismail Sabri sepatutnya menyerahkan dokumen yang diminta itu secepat mungkin
SPRM juga, tambah Azam, dijangka memanggil lebih ramai saksi bagi memudahkan siasatan.
Pada 3 Mac lalu Azam berkata Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan kes tersebut berikutan penemuan kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dalam sebuah rumah selamat.
Turut dirampas 16kg jongkong emas dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.