Tun M akan pertahan jawatan PM dengan sokongan PH
TUN Dr. Mahathir Mohamad akan mempertahankan jawatan Perdana Menteri kerana tidak bersetuju dengan tindakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan UMNO.
Dr. Mahathir berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Harapan pagi ini dan percaya beliau mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan.
“Dan seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, sementara saya tidak bersedia bekerja dengan mereka yang korup dari UMNO, saya dapat menerima mereka secara individu selagi mereka terbukti bersih. Mungkin Tan Sri Muhyiddin lebih santai terhadap pendekatan ini.
“Pagi ini saya mengadakan pertemuan dengan para pemimpin Pakatan Harapan.
“Saya yakin bahawa saya mempunyai jumlah yang diperlukan untuk mendapatkan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
“Dengan ini saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri. Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Dr. Mahathir dalam satu kenyataan.
Kenyataan Dr. Mahathir itu dikongsi oleh Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan media melalui kumpulan WhatApp.-SM