Politik

Sekarang kita gembira – Bung Moktar

PERTUKARAN portfolio dalam kabinet di negeri ini adalah mengikut kesesuaian dan tiada masalah untuk melaksanakannya, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata perubahan portfolio itu bukan sebuah isu besar, sebaliknya cuma sedikit salah faham antara rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah.

“Perubahan boleh berlaku ikut kesesuaian…tiada masalah,” katanya menjawab ringkas tentang perubahan portfolio menteri dipegangnya pada sidang media di kediamannya di Luyang hari ini.

Pada Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah Ke-16 di Istana Negeri Sabah pagi tadi, Bung Moktar juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah diumumkan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Bagaimanapun pada sidang media petang ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor juga Pengerusi Perikatan Nasional Sabah mengumumkan Bung Moktar sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Masidi Manjun yang sebelum ini diumumkan sebagai  Menteri Kerja Raya pada istiadat pagi tadi, diumumkan Hajiji sebagai Menteri Kewangan II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan petang ini.

Bung Moktar berkata kerajaan baharu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah ditubuhkan dengan sebilangan lagi menteri akan dilantik dalam masa terdekat.

“Sekarang kita gembira dan kita adalah sebahagian dalam kerajaan yang telah dibentuk, apa yang penting adalah tanggungjawab kita untuk berkhidmat untuk rakyat, ia adalah fokus utama kita.

“Kita yakin kita mempunyai cukup jumlah kerusi, dan kita akan bekerjasama dan saya sangat yakin kerajaan baharu Sabah akan bertahan lama,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button