JenayahNasionalNegeri

Tujuh warga Thai ditahan ceroboh perairan negara

ZON Maritim Kuala Perlis (ZMKP) telah berjaya merampas tiga Bot Nelayan Asing (BNA) sekaligus menahan dua tekong dan lima awak-awak warga Thailand di perairan Kuala Perlis, malam semalam.

Antara nelayan Thai ditahan ceroboh perairan Malaysia. – Gambar Ihsan ZMKP

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot berkenaan ditahan pada tiga kedudukan berbeza ini juga dikesan melakukan beberapa kesalahan lain.

“Bot pertama ditahan pada kedudukan 0.84 batu nautika dari barat Sungai Bahru manakala dua bot lagi dalam keadaan bertunda pada kedudukan 0.4 batu nautika dari barat pesisiran Kuala Perlis,” katanya dalam kenyataan media.

Antara bos asing ditahan ketika menceroboh perairan negara. – Gambar Ihsan ZMKP

Beliau berkata, bot ronda ZMKP tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman / Op Tiris di sekitar perairan Perlis sekitar pukul 10 malam semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati bot pertama dinaiki oleh seorang tekong bersama lima awak-awak, bot kedua hanya seorang tekong yang juga menunda sebuah bot kosong.

“Dua tekong dan lima awak-awak ini berumur antara 13 hingga 47 tahun,” katanya.

Tambahnya, bot yang berpangkalan di Thailand yang menggunakan enjin sangkut bergalah yang dianggarkan bernilai hampir RM35,000.

Enjin sangkut bergalah untuk mengemudi bot juga dirampas. – Gambar Ihsan ZMKP

“Kesemua suspek serta rampasan dibawa masuk ke jeti ZMKP dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 15 (1) (a) kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Antara nelayan Thai yang ditahan bersama bot ketika menceroboh perairan negara. – Gambar Ihsan ZMKP

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button