Tujuh industri berkolaborasi dengan PSAS sempena EXKIP 10.0
Ekspo Kerjaya Industri Politeknik (ExKIP10.0) anjuran Corporate Industrial Services and Employability Centre (CISEC), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) baru-baru ini menyaksikan sebanyak tujuh industri menandatangani Sijil Kolaborasi Industri (COC) sebagai menjadi rakan strategik bagi membentuk kerjasama dalam menjayakan kebolehpasaran graduannya.
Pengarah, Bahagian Governan Dan Kecemerlangan, Ts. Abdul Razak Sabtu ketika berucap merasmikan ExKIP 10.0 berkata program itu adalah usaha PSAS ke arah memenuhi hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) melalui jalinan kolaborasi industri.
“Kerjasama ini dilihat amat signifikan dalam usaha melahirkan graduan dan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovasi, berkualiti dan holistik khususnya graduan PSAS serta seluruh Politeknik Malaysia dalam menghadapi saingan dan risiko pada peringkat global dan serantau, “ katanya.
Oleh itu, katanya, pembabitan pelbagai institusi samada awam atau swasta dalam sistem Politeknik dapat memanfaatkan kemajuan teknologi untuk memperkukuhkan proses pembelajaran dan pengajaran di IPT dan seterusnya menghasilkan strategi pembelajaran dan pengajaran yang lebih inovatif, kreatif dan attractive atau memikat hati.
Menurut beliau jalinan strategik yang dirancang bersama mampu meningkatkan lagi nilai tambah, potensi diri serta merangsang para pelajar untuk terus memajukan ketrampilan dan hubung kaitnya dengan keperluan kemahiran terkini dalam sektor pekerjaan.
Jalinan kolaborasi berkenaan, katanya, merangkumi aktiviti latihan industri bagi pelajar dan sangkutan industri pensyarah dan pembangunan kurikulum pengajian politeknik secara berterusan dapat menjadikan program politeknik kekal relevan dengan kehendak industri.
Pengarah, Politeknik Sultan Azlan Shah, Muhammad Zubir Mohd Hanifah berkata fokus utama EXKIP 10.0 Temuduga Kerjaya Graduan bersama pihak industri yang menjadi keutamaan bagi pelajar untuk mendapat penempatan bekerja di industri dan sebanyak 21 syarikat dari pelbagai sektor mengambil bahagian dalam Temuduga Kerjaya Sempena Program ExKIP 10 2022.
“Selain melantik tujuh Jawatankuasa Penasihat Industri yang baru, sebanyak tujuh syarikat menandatangani Sijil Kolaborasi (COC) iaitu SM Bersatu Legacy, Crescent Gear Solution Sdn Bhd , Move Robotic Sdn Bhd, Malaysia Productivity Corporation, Centre of Unmanned Technologies, CMN Skill Solution Sdn Bhd serta Sport Engineering & Artificial Intelligence Centre, “ katanya.
Menurut beliau PSAS mengorak langkah dengan mengadakan Jalinan Kolaborasi antara PSAS dan juga industri yang diharapkan mampu melahirkan graduan yang berpengetahuan, berinovatif, serta mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi dan dapat mengaplikasikan ilmu mereka di dalam dunia pekerjaan sebenar.
Pengarah CISEC, Norhayati Jamil berkata ekspo berkenaan diadakan setiap tahun bertujuan membantu graduan memperoleh pekerjaan sebaik sahaja bergraduat.
Katanya, kolaborasi dengan industri juga sangat membantu dan sempena ExKIP 10.0 selama dua hari ini turut diadakan Temuduga Kerjaya Graduan serta Mesyuarat bersama Penasihat Industri dan Alumni ,” katanya.
Hadir sama , Dr Asnizah Sahekhaini yang mewakili Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Tinggi; Timbalan Pengarah Akademik PSAS, Siti Marlina Mohammad Amin; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSAS, Arman Ahmad Safawi serta Pengurus PERKESO Tapah, Prema Latha A/P Doraisamy.