‘Tuduhan tidak berasas dan melampau, cuba jatuhkan saya’ – Ebit Lew
PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah tidak berasas dan melampau dengan tujuan untuk menjatuhkan kredibilitinya.
Memetik laporan Utusan, beliau mengatakan pertuduhan itu adalah percubaan untuk menghina dan merendahkan maruahnya supaya berhenti daripada melakukan kerja-kerja amal untuk membantu golongan susah.
“Saya yakin dan percaya perkara ini sesuatu yang sudah dirancang oleh mereka dan perkara ini bukan dirancang dalam sehari dua.
“Sebenarnya, saya baru tahu mengenai pendakwaan ini beberapa hari lepas dan saya agak terkejut. Saya datang ke Sabah bukan untuk ke mahkamah, malah saya dalam misi melakukan kerja amal,” katanya.
Namun begitu, beliau berasa tenang kerana ketika ini beliau sedang berada dalam misi melakukan kerja amal dan beliau juga tidak bersalah.
Tuduhan itu terjadi atas cubaan pihak tertentu yang mahu mengganggu kerja amal yang dilakukan oleh beliau.
“Setiap kali berhadapan dengan ujian sebegini, memang terasa berat, namun saya tahu ini adalah ujian yang perlu dihadapi.
“Apabila kita ditentang ketika membuat kebaikan maka, tidak perlu bersedih kerana ujian yang datang ini sudah menjadi sunat. Walaupun kita berusaha sehabis baik, namun saya rasa bersyukur dengan ujian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ebit berkata, kes pertuduhan terhadapnya diserahkan kepada peguam dan beliau tahu dirinya tidak bersalah, maka segala ujian yang dihadapi akan dilalui dengan tenang.
Pengurusan kes ditetapkan pada 22 April ini untuk penyerahan dokumen yang berkaitan dan perbicaraan pula akan dijalankan pada bulan Jun. – SM