Pendidikan

Tuanku Syed Faizuddin dimasyhur sebagai canselor UniSIRAJ

KUALA LUMPUR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima Watikah Pemasyhuran Semula sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa dari 15 April 2025 hingga 14 April 2030.

Pemasyhuran ini dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 32 Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (2024), sekali gus memperkukuhkan kepimpinan baginda dalam membimbing institusi pendidikan tinggi Islam itu ke arah kecemerlangan. UniSIRAJ merupakan institusi pendidikan tinggi Islam milik penuh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang berperanan penting dalam pembangunan akademik dan dakwah Islam di negeri Perlis serta di peringkat nasional dan antarabangsa.

Watikah tersebut dipersembahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin, dan turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd. (ALP), Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, serta Rektor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.

Majlis ini bukan sahaja mencatatkan detik bersejarah buat UniSIRAJ, malah turut mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang semakin mengukir nama di rantau ini. Dengan menjadikan “Applied Sunnah” sebagai tujahan utama, UniSIRAJ menekankan penghayatan sunnah dalam setiap aspek kehidupan selaras dengan slogannya, “Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan.”

Sehingga Mac 2025, UniSIRAJ menawarkan 27 program pengajian merangkumi peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah, melalui empat fakulti utama iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat & Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan, dan Fakulti Al-Quran & Sunnah, serta dua pusat pengajian, Pusat Pengajian Asasi dan Pusat Pengajian Siswazah. Semua program ini diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).

Sebagai sebuah institusi yang berteraskan pendidikan Islam moden, UniSIRAJ terus berkembang dengan pendekatan akademik yang memadukan tradisi ilmu Islam dan kemajuan teknologi semasa. Selain menitikberatkan kajian dalam bidang pengajian Islam, muamalat, dan syariah, universiti ini turut memperkenalkan elemen pendidikan berasaskan teknologi digital dan keusahawanan Islam, bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berdaya saing dalam ekonomi global.

Selain menawarkan program akademik yang mantap, UniSIRAJ juga giat menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi dalam dan luar negara, termasuk universiti terkemuka di Timur Tengah dan Asia Tenggara, bagi memastikan mutu pendidikan yang diberikan sejajar dengan perkembangan semasa. Penekanan terhadap kajian ilmiah dan inovasi dalam bidang pengajian Islam turut menjadi keutamaan, dengan usaha memperkasa penyelidikan dalam kecerdasan buatan (AI) dalam fiqh, kewangan Islam digital, dan teknologi pendidikan Islam interaktif.

Sebagai sebuah universiti yang menggalakkan keterlibatan komuniti, UniSIRAJ turut melaksanakan program kemasyarakatan dan dakwah secara aktif, dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuhkan kefahaman Islam secara inklusif dan progresif.

Pengambilan pelajar baharu ke UniSIRAJ dibuka dua kali setahun, iaitu pada sesi Februari dan September, bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang ditawarkan.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button