Nasional

Transformasi MAIPs dilaksana untuk memastikan kelestarian – Raja Muda Perlis

Transformasi di dalam organisasi merupakan suatu strategi dan implementasi untuk membawa sesebuah organisasi itu dari bentuk dan sistem yang ‘lama’ ke bentuk dan sistem yang ‘baru’ supaya lebih baik dengan menyesuaikan seluruh elemen terbitannya iaitu sistem, struktur, ‘people’, ‘culture’ dalam rangka meningkatkan keberkesanan organisasi untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan selaras dengan visi dan misi organisasi begitu juga MAIPs dan agensi di bawahnya.

‘Kita perlu tahu dan fahami bahawa transformasi dalam organisasi dilakukan untuk menjadikan organisasi itu termasuklah MAIPs untuk sentiasa lestari, inovatif, dan mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi. Ibarat sebuah pertandingan lumba lari, transformasi adalah ‘marathon’ yang memerlukan daya tahan yang tinggi dan nafas yang dalam. Setiap masa dan peringkat mesti dapat menunjukkan kemajuan dan pasti ada hasil jangka pendek atau kemenangan pantas (quick win)’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menutup Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan ke 4 bagi tahun 2020 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Integrated Business Centre (IBC) Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar.

Menurut baginda, antara komponen penting dalam melakukan transformasi sesebuah organisasi ialah:

1) Menentukan Hala Tuju iaitu dengan melihat kembali visi dan misi iaitu minimum 3 tahun sekali.

2) Kesediaan Untuk Berubah dengan cara menyiapkan diri dengan perubahan serta program untuk menghadapi perubahan.

3) Responsif terhadap persekitaran iaitu mengadakan program untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan serta menggunakannya untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran yang mendatang.

4) Kekuatan Kepemimpinan iaitu dengan mempersiapkan pemimpin dalam organisasi dengan ilmu dan mampu menggerakkan semua sumber dan juga kakitangan untuk mencapai wawasan yang diimpikan.

5) Individu yang kompeten iaitu menguruskan sumber manusia supaya mencipta kelebihan dan berdaya saing, serta

6) Pengurusan risiko iaitu dengan menguruskan risiko-risiko yang ada dan bakal berlaku dengan baik sehingga menyokong kejayaan sesebuah organisasi.

Terdahulu daripada itu baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menerima sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM50,000 daripada Pens Industries Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis yang dipersembahkan oleh Pengerusinya, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button