Bencana alam

Tragedi Jeram Mawar: Operasi dihenti awal, khuatir kepala air berulang

KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang hilang di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman terpaksa dihentikan lebih awal petang tadi kerana dikhuatiri kepala air mungkin berulang.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Azman Alias berkata operasi hari pertama terpaksa ditamatkan pada 6 petang berikutan hujan lebat di lokasi SAR.

Beliau berkata seramai 37 anggota termasuk pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, BBP Kemaman, BBP Cheneh, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikerah untuk operasi SAR hari ini yang bermula kira-kira 3 petang tadi.

“Selain cuaca buruk dan tidak menentu, kita juga terpaksa menamatkan operasi SAR lebih awal kerana bimbang ancaman binatang buas memandangkan kawasan jeram ini kawasan hutan simpan yang menjadi habitat haiwan liar,” katanya yang dihubungi Bernama malam ini.

Azman berkata pihaknya menjangkakan terdapat pertambahan anggota dan kelengkapan untuk operasi SAR yang akan bersambung 8 pagi esok.

Related Articles

Beliau berkata pihaknya telah memohon untuk mendapatkan bantuan anjing pengesan Unit K9 pihak bomba dan polis untuk mencari kesemua mangsa yang hilang.

“Kita turut mohon bantuan anggota Pasukan Gerakan Am dan penggunaan dron juga mungkin perlu untuk usaha pencarian,” katanya.

Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti di lokasi yang berisiko berlaku fenomena kepala air dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan dilaporkan mengesahkan seorang wanita dan anak lelakinya ditemukan lemas hari ini manakala lapan individu masih hilang dalam kejadian kepala air berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, sembilan mangsa disahkan daripada keluarga yang sama, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button