
Todak Fusion Lancar Lagu Raya ‘Ala Joget Raya’, Angkat Elemen Tradisional dan Moden
TODAK Fusion melancarkan lagu raya terbaru mereka berjudul ‘Ala Joget Raya’, yang menggabungkan elemen etnik kreatif dengan sentuhan moden.
Menurut penerbitnya, Ikmal Fareeq, industri muzik tempatan kini semakin kehilangan identiti seni muzik tradisional, dan beliau merasa bertanggungjawab untuk mengangkat semula lagu-lagu Melayu yang berunsurkan etnik.
“TODAK Fusion sudah lama berniat untuk menerbitkan sebuah lagu raya. Saya berbincang dengan komposer Razak A’ai, kerana saya rindukan lagu yang mempunyai budaya dan elemen muzik tradisi. Kami percaya banyak lagu raya kini berbentuk moden, menyebabkan perubahan dari segi susunan muzik, sehingga keaslian lagu raya tradisional semakin pudar,” katanya.
Ikmal turut menambah bahawa dengan bantuan Razak A’ai, mereka menghasilkan sebuah lagu yang mampu mengembalikan nostalgia budaya Melayu dengan menampilkan bunyi-bunyian klasik dan elemen tradisional.
“Razak membantu menulis lagu yang dapat membangkitkan semula memori budaya kita. Kami berusaha untuk memasukkan elemen muzik tradisional agar ia tidak dilupakan oleh generasi muda.”
Lagu ‘Ala Joget Raya’ bukan sahaja menggabungkan elemen muzik dan tarian moden, tetapi juga menampilkan keindahan alat muzik tradisional seperti akordion, rebana, dan biola, serta menghidupkan kembali seni tarian klasik Melayu.
Dinyayikan oleh Razak A’ai dan Khaleesi
Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik utama, manakala muzik video rasmi telah dilancarkan di saluran YouTube TODAK Fusion.